Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata kemenangan ke atas Melaka United dalam saingan Piala FA pada Sabtu ini mampu memulihkan kembali semangat dan moral para pemainnya.
Beliau berkata ia juga secara langsung akan memperbaiki imej skuad Tok Gajah yang tercalar selepas tewas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini.
"Saya tidak sabar untuk menunggu perlawanan ini berlangsung di Stadium Darul Makmur. Ini kerana aksi tersebut mampu memulihkan kembali imej pasukan, semangat dan moral pemain kami.
"Walaupun prestasi Melaka United sejak kebelakangan ini tidak begitu menjadi, kita tidak boleh menganggap mudah dengan cabaran mereka kerana mana-mana pasukan yang bermain dalam Liga Super adalah yang terbaik," katanya.
Dollah juga berkata kesemua pemainnya bersedia untuk beraksi dalam kesebelasan utama hingga menyebabkan beliau kadang kala berada dalam dilema untuk memilih pemain yang bakal diturunkan pada setiap perlawanan.
"Ramai yang boleh beraksi sehingga ada dalam kalangan pemain utama kami yang bimbang mendapat kecederaan kerana enggan tempat mereka diambil rakan lain. Cuma saya risau mereka rasa hampa jika tidak diturunkan dan ini boleh menjejaskan moral mereka.
"Nasihat saya adalah agar mereka tidak rasa kecil hati dan terus mempamerkan prestasi (cemerlang) kerana ruang untuk mereka beraksi sentiasa terbuka," katanya. -Bernama