Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Peribahasa lama ada menyebut, rumah siap pahat berbunyi. Di Kelantan kerja-kerja mengecat Stadium Sultan Muhammad IV belum pun sempurna sepenuhnya tetapi sudah kedengaran bunyi 'pahat' dari Kota Bharu.

Dikhabarkan sekarang sudah timbul masalah antara penaja utama skuad Kelantan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Kononnya apa yang berlaku ketika ini ialah Datuk Seri Hasmiza Othman bercadang mahu menarik balik tajaan untuk pasukan pantai timur itu kerana wujud unsur "lipat-melipat" ketika ini.

Ungkapan itu merujuk kepada dialek Kelantan yang merujuk kepada amalan memungkiri janji.

Sumber yang dekat dengan Kafa mendedahkan, ada antara syarat kontrak tajaan bernilai RM16 juta yang ditandatangani kedua-dua pihak sudah gagal ditepati.

Penyaluran wang jadi masalah

Katanya, keadaan itu mewujudkan rasa tidak puas hati antara Hasmiza dan Kafa.

"Jika ikut perjanjian, sejurus kontrak ditandatangani Hasmiza perlu salurkan 20 peratus tajaan (bernilai RM1.6 juta) kepada Kafa pada Januari dan 10 peratus atau RM800,000 lagi pada Februari dan Mac lalu.

"Tetapi perkara itu tidak dilakukan oleh pihak penaja. Setakat ini hanya kira-kira RM1.5 juta sahaja yang dikeluarkan oleh Hasmiza," katanya yang enggan disiarkan namanya.

Hasmiza melalui syarikatnya Vida Beauty Sdn Bhd telah menandatangani kontrak penajaan selama dua musim dengan Kafa, Januari lalu.

Sehubungan itu kata sumber tersebut, Hasmiza juga dilihat melangar perjanjian kontrak keranan gagal menyalurkan duit tajaan seperti dijanjikan.

"Selain itu ada juga masalah lain timbul, seperti bayaran gaji pemain lewat, pemberian bonus tak mengikut formula Kafa dan pengeluaran jersi lambat," katanya.

Sementara itu, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa juga mendedahkan beberapa perkara berhubung isu penajaan tersebut.

Menulis di Facebook beliau semalam, Annuar berkata, prinsip asal kesediaan untuk menukar nama pasukan dan warna jersi dibuat untuk penaja yang menaja 50 peratus atau lebih daripada bajet rasmi pasukan.

Terima dengan hati terbuka

Bagaimanapun katanya tajaan Vida Beauty kini hanya RM4 juta setahun dan sehingga separuh musim ini berlangsung, Hasmiza hanya menyumbang kira-kira RM1.4 juta.

Katanya, baki tajaan Hasmiza - yang juga dikenali sebagai Vida - sepatutnya mahu belanjakan untuk hal luar perbelanjaan Kafa seperti pengindahan stadium, membaiki Wisma Kafa dan ganjaran juara.

"Itu pun tiada sebarang tajaan dibayar ke akaun Kafa. Semua ini Kafa terima dengan hati terbuka.

"Hingga saat ini pun Kafa tetap mempunyai hubungan akrab dan sentiasa bekerjsama dan terima apa saja seadanya. Kita sentiasa hargai komitmen Hasmiza," jelasnya.

Annuar berkata, beliau berkongsi fakta tersebut dengan peminat bagi mengelak kesilapan fakta.

"Kafa akan update (kemas kini) bila perlu. (Mengenai) soal penaja baru lain sememangnya Kafa perlu terus mencari dana.

"Ini kerana kita kekurangan RM4 juta lagi bila Hasmiza mahukan tajaan beliau dibuat seperti yang saya jelaskan ini," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini sedang cuba menghubungi Hasmiza untuk mendapatkan kenyataan beliau berhubung isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS