Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Barisan pelapis kepemimpinan ulama PAS kini berada dalam keadaan krisis – pengetahuan mereka yang berusia bawah 40 tahun "paling tidak memuaskan" dan tertumpu aspek keagamaan sahaja.

"Saya selalu dengar ceramah-ceramah ulama muda ini. Masih stereotaip (hujahnya). Daripada ucapannya, kita tahu sudut bacaannya, kefahamannya," kata Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada Malaysiakini .

mohamad sabu 040908 03 "Masih mengecewakan saya," jelasnya lagi, mengulas prestasi kepemimpinan ulama yang disokong beliau sejak ia diperkenalkan awal 1980-an selepas PAS terpengaruh dengan kejayaan Revolusi Islam di Iran.

Berbeza dengan generasi tua pemimpin ulama parti itu, kata penceramah popular itu, barisan muda lulusan agama dalam PAS sekarang dilatih di negara-negara Arab yang tidak demokratik sehingga menyebabkan mereka hanya bertujuan lulus peperiksaan.

"Sebab kita lihat, latar pengajian mereka di Mesir, Arab Saudi, atau Syria. Negara-negara ini terkongkong daripada sudut politiknya, pendedahannya, dengan penindasan yang berlaku di sana.

"Sekarang ini, kalau di Mesir, Syria dan negeri-negeri Arab, semuanya negeri yang diktator. Jadi, aliran pengajian mereka (bergantung) kepada buku (sahaja) untuk lulus peperiksaan.

"(Keadaan) itu yang saya rasa rimas sedikit dengan perkembangan semacam ini," kata Mohamad sewaktu ditemui di kediamannya di Shah Alam semalam.

"Berlainan dengan ulama-ulama kita di tahun 1950-an dan 1960-an. Kebanyakannya lulusan (agama) dari India.

"Jadi di sana, di universiti-universiti Aligarh, Deoband dan sebagainya, (orientasinya) lebih bersikap sains politik. (Misalnya) profesor Zulkifli Mohamad di zaman itu."

Bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu menambah, barisan ulama di beberapa negara lain seperti Iran dan Lubnan mempunyai gabungan kepakaran ilmu-ilmu kontemporari dan ilmu agama.

"Kita harap ulama-ulama kita pun sampai ke peringkat itu. Ertinya, bukan hanya bidang fekah semata-mata tetapi boleh bercakap dalam pelbagai bidang.

Mohamad bagaimanapun tetap menyokong kepemimpinan ulama PAS dan berharap pengetahuan barisan ulama parti itu menguasai lebih banyak pengetahuan semasa dan berani mengetengahkan khazanah ilmu Islam untuk diterapkan dalam politik Malaysia.

Beliau enggan mengulas saranan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub yang berhasrat menganjurkan seminar penilaian semula kepemimpinan ulama seperti ucapan dasarnya di muktamar dewan itu di Ipoh, bulan lalu. [LIHAT VIDEO DI SINI]

Teks penuh wawancara isu tersebut seperti berikut:

Malaysiakini : Bagaimana Tuan Haji melihat kepimpinan ulama sekarang ini dalam PAS?

Mohamad : Saya setuju kepimpinan ulama diteruskan. Ulama sendiri (bagaimanapun) perlu bersedia menimba ilmu dan berkecimpung dalam hal-hal politik, (kualiti kepimpinan ulama) mesti dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kepimpinan ulama timbul (dalam PAS) selepas Revolusi Iran 1979. Cuma pada waktu itu, kerana (wujud konsep) kepimpinan ulama, pemeriksa kira-kira pun, di peringkat kawasan (PAS), kalau boleh mereka hendak (lantik) seorang ustaz. Itu salah kefahaman di masa itu.

Kepimpinan ulama itu (bermaksud) parti dipandu sepenuhnya oleh sebuah majlis yang dipanggil Majlis Syura. Di peringkat eksekutif, sesiapa pun boleh, asalkan bertaqwa.

Macam kita lihat presiden Iran, boleh (lantik) seorang ulama macam Akbar Hashemi Rafsanjani, Mohammad Khatami - hujjatul Islam .

Boleh juga seseorang yang latar belakangnya seorang guru, seperti Mohammad Ali Rajai atau latar belakang (aktivis pelajar) seperti sekarang ini, (presiden kini) Mahmoud Ahmadinejad.

Jadi, semua mereka ini bekerja bawah satu panduan majlis ulama (Iran).

Kepimpinan ulama, apakah ia masih berkesan atau memerlukan banyak peningkatan?

Perlu banyak peningkatan. Ulama-ulama sendiri, kalau di Iran, mereka kadang-kadang ada kelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang perancangan bandar (dari luar negara). Mereka pulang, belajar di Qom (pusat pendidikan agama terulung) tujuh hingga lapan tahun.

Apabila berunding di peringkat antarabangsa, orang tengok seseorang (pemimpin Iran) ini berserban, tetapi latar belakangnya PhD dalam pelbagai bidang.

Misalnya, apabila mereka pergi ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berunding tentang nuklear (kontroversi pembinaan loji antara negara itu dengan Amerika Syarikat), (kalau) kita kata (tertanya-tanya), beliau dari pondok mana?

Padahal beliau seorang (pemegang) PhD yang kemudiannya belajar (di Qom) untuk mengambil peringkat hujjatul Islam . Jadi, ulama-ulamanya sampai ke peringkat itu.

Kita berharap ulama-ulama kita pun sampai ke peringkat itu.

Ertinya, (mereka) bukan hanya (menguasai) bidang fekah semata-mata tetapi boleh bercakap dalam segala bidang. Jadi, kepimpinan ulama perlu dipertahankan tetapi perlu peningkatan.

bersih memo to suhakam 130907 mat sabu Masalah utama sekarang, ulama kita tidak akses ilmu-ilmu luar (bukan agama)?

Ya, ia perlu. Kerana kegagalan-kegagalan gerakan Islam, saya nampak, antaranya garis panduan dan dasarnya tidak kuat. Jadi, dasar itu mestilah kuat, (dan) dipegang orang yang begitu hebat.

Tetapi di peringkat eksekutif, mungkin doktor, mungkin seorang ustaz, mungkin seorang ulama, tetapi mereka yang mengetahui serba-serbi untuk mempertahankan dasar-dasar Islam.

Di muktamar Pemuda PAS, (ketuanya) Salahuddin Ayub menyebut dalam ucapan dasarnya, kepimpinan ulama perlu "penilaian semula." Jadi, sebenarnya apa masalah utama?

Macam saya sebut tadi...

Masalah akses ilmu?

Masalah akses ilmu. Apabila seseorang itu mendapat PhD dalam syariah. Bagi orang kita, orang Malaysia ini, (kelulusan) macam itu dikira tamat pengajian. Tetapi bagi orang lain, (kelulusan) itu hanya satu permulaan. Dia akan belajar lagi dan duduk di satu tempat (untuk mendalami lagi ilmu).

Sejauh mana seriusnya masalah ini (dalam PAS)?

Kita kena terus mendesaklah. Kita berharap generasi ulama muda akan memainkan lebih peranan.

Misalnya kita bercakap (soal) peradaban Barat, etika Barat, ulama berkata kita mesti arif tentang perkara-perkara ini. Sebab, kalau kita ingin melawan Barat ini, ... sedangkan etika (Islam) kita yang lebih baik tidak kita terjemahkan, ...

Tuan Haji melihat kebangkitan ulama muda ini, tokoh-tokohnya?

Masih mengecewakan saya. Misalnya saya ambil contoh sekarang. Yang menonjolkan (idea) hendak memerintah mengikut cara (khalifah Islam) Umar Abdul Aziz, (ketua menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng. Kenapa?

Sebab beliau tahu bagaimana (keadilan) pembahagian kekayaan antara harta kerajaan dengan harta peribadi – yang juga disebut oleh (menteri besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khazanah (ilmu) Islam ini yang ulama kita perlu tonjolkan -- pemerintahan yang baik pada masa akan datang.

Nampaknya tokoh-tokoh ulama dalam PAS, yang muda-muda ini...

Kurang menonjolkan perkara-perkara seperti ini.

Dan kurang berkualiti jika dimaksudkan dengan yang lama maksudnya?

Kalau dibandingkan dengan ulama kita, bukan soal pakaian maksudnya. Kalau kita bandingkan dengan (pemimpin Hizbullah di Lubnan) Hassan Nasrullah.

Bagaimana dengan serbannya itu beliau dapat memikat semua kumpulan – Kristian Druz, Sunni, Syiah, semua menghormatinya, pemikirannya dan kepimpinannya.

Ulama-ulama seperti ini yang saya hendak lihat muncul. Setakat ini saya...

Tidak ada? Kurang?

Hendak kata tidak ada... Itulah, paling tidak memuaskan.

Tuan Haji sebut kepimpinan ulama perlu peningkatan, tetapi Salahuddin menyebut "penilaian semula".

Itu pendapat peribadi beliau. Saya nampak begitu (seperti dijelaskan di atas).

Saya selalu mendengar ceramah-ceramah ulama muda ini. Masih stereotaip (hujahnya). Daripada ucapannya kita tahu sudut bacaannya, kefahamannya.

Antaranya Tuan Haji?

(Ketawa) Tidak boleh sebut namalah. Saya sebut secara umum. Jadi, saya nampak peningkatan itu ... (sangat kurang)

Mereka ini dapat lingkungan umur?

Bawah 40 tahun.

Mereka ini kurang (kewibawaan) berbanding ulama berumur atas 40 tahun?

Sebab kita lihat, latar pengajian mereka di Mesir, Arab Saudi, atau Syria.

Negara-negara ini terkongkong daripada sudut politiknya, pendedahannya, dengan penindasan yang berlaku di sana.

mohamad sabu 040908 02 Tidak ada demokrasi, lebih teruk daripada (demokrasi) Malaysia.

Berlainan dengan ulama-ulama kita di tahun 1950-an dan 1960-an. Kebanyakannya lulusan dari India.

Jadi di sana itu, universiti-universiti Aligarh, Deoband dan sebagainya, (orientasinya) lebih bersikap sains politik.

Lepas itu mereka balik. Misalnya (pemimpin PAS) profesor Zulkifli Mohamad di zaman itu.

Tetapi sekarang ini, kalau di Mesir, Syria dan negeri-negeri Arab, semuanya negeri yang diktator. Jadi, aliran pengajian mereka (bergantung) kepada buku (sahaja) untuk lulus peperiksaan.

Itu yang saya rasa rimas sedikit dengan perkembangan semacam ini.

Istilah "penilaian semula" yang digunakan (Pemuda PAS) itu berat dan serius. Sebab, menilai semula boleh bermaksud menolak atau menerima (kepemimpinan ulama) .

(Perkara) itu kena tanya Ketua Pemuda. Bagi saya, dasar itu sudah elok. Majlis Syura itu semuanya sudah elok. Cuma peningkatan perlu dibuat.

Apakah (kenyataan) ini menunjukkan Pemuda PAS tidak selesa dengan kepimpinan ulama?

Saya tidak mahu komenlah perkara itu. (Ketawa kecil) Kena tanya Salahuddin sendiri perkara itu.

Adakah kepimpinan ulama ini lebih mirip kepada pendekatan Syiah? Kalau dalam (politik) Sunni, perkara ini tidak berapa jelas.

Saya tidak nampak (isu) mazhab di situ. Sebab dunia Sunni ini, dan dunia Islam ini, kita tengok apabila kita merdeka, kembali kepada kediktatoran sebab garis panduan tidak ada. Masa revolusi itu, bagus, tetapi ia kembali kepada (pemerintahan) diktator.

Macam (bekas presiden Iraq) Saddam Hussein, sediakan anaknya (sebagai pengganti). Kemudian (bekas presiden Syria) Hafiz al-Asad, juga mewariskan (kuasa) kepada anak dia.

(Presiden Libya) Muammar Gaddafi juga sedang menyediakan anaknya (sebagai pengganti).

Dan kita balik kepada (kedikdatoran) itu. Dan kita lihat, di negara-negara orang Islam, imejnya (demokrasi) tidak ada sebab garis panduannya tidak ada.

Dalam kepimpinan ulama kita, dasar ini (demokrasi) saya pegang sungguh-sungguh. Tetapi saya kata, pengisiannya itu.

Kalau (kepemimpinan ulama) itu kita kata (pendekatan) Syiah, dalam negara Sunni, manakah modelnya yang hendak kita tonjolkan?

Maknanya (kepemimpinan ulama) merentas aliran?

Maknanya merentas aliran. Jadi, dasarnya tidak salah. Yang saya sebut ini, pengisiannya itu.

Bahagian I PAS 'tunggu dan lihat' 16 Sept

Bahagian ketiga (esok) Anwar hanya berkesan tarik undi bukan Melayu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS