Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh akan melelong motosikal dan ikan tilapia ternakannya bagi mengumpul bayaran sebanyak RM300,000 yang dianugerahkan mahkamah selepas dia didapati bersalah memfitnah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, semalam.

Akmal berkata dia menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Melaka tersebut dan bersedia memikul tanggungjawab penuh untuk menjelaskan bayaran berkenaan tanpa melibatkan bantuan tabung sumbangan awam.

“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi.

“Sebab itu, dengan berat hati, saya membuka bidaan untuk dua aset kesayangan saya: 1. Motosikal Honda X-ADV. 2. Ikan tilapia ternakan saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Akmal, dia tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk mencukupkan jumlah itu, tetapi dua aset berkenaan telah habis dibayar dan boleh dijualnya.

“Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat.

“Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang. Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi di Melaka memerintahkan ketua Pemuda Umno itu membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa berhubung saman fitnah susulan kenyataan video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.

Teresa Kok bersama peguamnya selepas menang kes saman fitnah terhadap Dr Akmal Salleh

Hakim Isa Aziz Ibrahim yang membacakan keputusan berhubung kes berkenaan, berkata, mahkamah mendapati kenyataan yang dibuat oleh defendan menerusi video berkenaan membawa maksud memfitnah plaintif selain melampaui batas kritikan terhadap dasar awam.

Dia turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang ketua pemuda Umno itu daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya.

Mengulas lanjut, Adun Merlimau itu berkata, tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah RM300,00 tersebut akan dipikulnya sendiri dan tidak mahu menyusahkan orang lain yang turut mempunyai komitmen serta kesusahan keluarga masing-masing.

Sehubungan itu dia mempelawa pembida yang berminat membuat tawaran bagi kedua-dua asetnya itu.

Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan, doa dan kata-kata semangat kepadanya susulan keputusan mahkamah tersebut.

“Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya.

“Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan,” katanya lagi.

Pada 10 Sept 2024, Teresa disoal siasat polis selepas berkata cadangan kerajaan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol akan membebankan perniagaan serta boleh menjadikan Malaysia bahan cemuhan.

Akmal kemudian mengecam Teresa sebagai "nyonya tua" yang tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan agama Islam dan berkata dia akan meminta kerajaan menyediakan logo bukan halal untuk ditampal pada dahi pemimpin DAP itu.

Pada 11 Sept, Teresa mengeluarkan surat tuntutan kepada Akmal berhubung kenyataannya itu, dan menuntut ganti rugi RM25 juta. Dalam notis itu, Teresa turut menuntut Akmal membayar kesemua kos undang-undang dan perbelanjaan yang timbul daripada saman tersebut.

Menurut notis berkenaan, kenyataan Akmal menggambarkan Teresa eolah-olah seorang yang rasis, tidak menghormati agama Islam dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pensijilan halal.

Dia juga didakwa menggambarkan Teresa sebagai individu yang tidak sensitif, jahil, menentang dasar kerajaan berhubung amalan dan agama Islam, serta merosakkan keamanan dan keharmonian negara selain menjadi "musuh negara" yang tidak setia kepada negara.

Antara lain, Teresa menuntut Akmal menarik balik kenyataannya serta-merta dan tanpa syarat, memohon maaf secara terbuka tanpa syarat dan tidak boleh dibatalkan dalam bentuk serta media yang akan ditentukan oleh Kok dan peguamnya, selain membuat akujanji bertulis untuk tidak mengulangi sebarang dakwaan atau kenyataan lanjut yang serupa dengan kata-kata fitnah tersebut.

Membalas notis undang-undang Teresa, Akmal berkata dia akan menghadapinya di mahkamah.

"Ok, Nyonya. Kita jumpa di mahkamah. Tidak takut, tidak menyerah," tulisnya di Facebook.