‘Tahanan rumah bersama keluarga di Langgak Duta, Najib diminta tidak dedah syarat’
Bekas perdana menteri Najib Razak telah menerima prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Penjara bagi pelaksanaan tahanan rumah, kata peguamnya Shafee Abdullah hari ini.
Bagaimanapun, Shafee berkata Najib diberitahu oleh jabatan itu supaya tidak mendedahkan butiran berkenaan kepada orang ramai dan pihak media.
“Ya, benar, Najib memang telah menerima perintah daripada Yang di-Pertuan Agong dan perintah itu disertakan dengan lampiran yang memperincikan terma dan syarat (tahanan rumah) berkenaan.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan butiran itu kepada anda atau lebih tepat, Najib tidak boleh berbuat demikian kerana Jabatan Penjara mengarahkannya supaya tidak mendedahkannya kerana maklumat itu hanya untuk kegunaannya.
“Alasannya, jika butiran itu didedahkan kepada umum, pihak media dan orang ramai akan mula membuat pelbagai spekulasi dan berdebat mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kompleks mahkamah Kuala Lumpur.
Dia turut mengesahkan bahawa Najib akan menjalani tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta dan tinggal bersama keluarganya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/09/240e7bf4b6c026b6aa59507a8fad5839.jpg)
Sebelum ini, Berita Harian pada 7 Okt melaporkan bahawa Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Zamri Misman, mengesahkan SOP tahanan rumah itu telah diserahkan kepada Najib.
Najib, 73, kini sedang menjalani hukuman penjara bagi tujuh pertuduhan jenayah berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Dia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020. Bekas presiden Umno itu mula menjalani hukuman penjara itu dua tahun kemudian.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengekalkan denda RM210 juta, sekali gus mempercepat tarikh pembebasannya kepada 23 Ogos 2028.
Pada 18 Sept tahun ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, yang membolehkannya menjalani baki hukuman sedia ada secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, bergantung kepada pembayaran denda RM50 juta.
/file/attachments/885/5c889b8396aaa1ddf3256d2b92bb7600_261936.jpg)
Susulan itu, Umno melancarkan kempen kutipan dana bagi membantu membebaskan Najib. Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kutipan setakat ini masih belum diketahui.
Ketika ditanya mengenai perkembangan kutipan dana itu, Shafee berkata dia tidak mengetahui maklumat berkenaan.
“Saya tidak tahu, itu bukan tugas saya. Saya harap ia tugas saya, tetapi bukan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara berkaitan kes 1MDB selepas mendapati permohonan itu tidak mempunyai merit atau keadaan khas yang membolehkan penangguhan diberikan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/najibrazak1_740838.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.