Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaanbahawa pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, yang ditemukan maut selepas disyaki dibunuh di dewan sekolah di Yong Peng, kelmarin, diheret dari surau ke tempat kejadian, seperti yang tular di media sosial.

Dia turut menafikan dakwaan terdapat cermin yang pecah di surau, yang dikaitkan dengan kejadian itu.

Sehubungan itu, Fadhlina menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung insiden tersebut demi menghormati keluarga mangsa yang sedang berduka, selain suspek bawah umur yang masih dalam siasatan polis.

"Ada dakwaan mengatakan mangsa diseret dari surau ke dewan tempat kejadian serta dakwaan cermin pecah di surau, ini semua tidak benar. Jangan kita menambah luka dengan spekulasi.

"Jadi, ini semua tidak benar. Saya minta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu.

"Kita sedang bercakap mengenai seorang anak yang sudah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui proses siasatan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Ketika menzahirkan ucapan takziah, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dia juga memaklumkan bahawa tempat berlakunya kejadian bunuh itu dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak dipasang di kawasan insiden itu berlaku.

Susulan itu, katanya, KPM sedang melakukan siasatan terhadap syarikat kawalan keselamatan sekolah terbabit bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

"Sekolah itu ada CCTV cuma CCTV itu tidak dipasang di tempat kejadian jenayah itu berlaku.

“Sebab itu saya katakan, selain fasa (pemasangan baharu) itu, mana-mana sekolah yang telah mempunyai CCTV tetapi tidak berfungsi atau rosak, sila maklumkan kepada kita untuk ditambah baik fungsinya supaya dapat merakam kejadian di sekolah," katanya.

Pada sidang media yang penuh emosi itu, Fadhlina menahan sebak beberapa kali sambil menegaskan bahawa dia bercakap bukan sahaja sebagai menteri, tetapi juga sebagai seorang ibu.

“Anak-anak saya melalui sistem persekolahan dan pendidikan yang sama. Anak-anak saya semua sekolah kerajaan.

“Saya juga pernah menghantar anak ke sekolah dan menyerahkan mereka kepada guru serta pihak sekolah seperti ibu bapa yang lain,” kata ibu kepada enam anak itu kepada wartawan.

Fadhlina turut menolak dakwaan bahawa kes-kes yang melibatkan sekolah tidak disusuli, sambil menegaskan bahawa ketiadaan liputan media tidak bermakna sesuatu kes itu diabaikan.

“Kes tidak terhenti hanya kerana ia tidak lagi menjadi tajuk berita atau perbualan di media sosial. Itu kita kena jelas.

“Siasatan, tindakan tatatertib, proses undang-undang dan intervensi berkaitan terus berjalan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya lagi.

Mengenai aspek keselamatan, dia berkata KPM sedang menyemak rekod rondaan dan pelaksanaan tugas oleh syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian secara menyeluruh.

Dia turut memberikan amaran mengenai tindakan kewangan atau penamatan kontrak boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran syarat yang telah ditetapkan.

Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal

Mangsa Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah terbabit pada kira-kira 5.50 petang.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng kira-kira 7 malam pada hari sama sebelum memperoleh perintah reman selama enam hari hingga 9 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.