PARLIMEN l Wakil rakyat pembangkang memilih untuk keluar sekali gus memboikot daripada Dewan Rakyat selepas permintaan mereka untuk menangguhkan sidang khas yang berlangsung, hari ini, ditolak.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan pada awalnya tampil membangkitkan Peraturan Mesyuarat agar sidang khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) ditangguh susulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dapat menghadiri sesi hari ini.

"Kami tidak mengikuti perbahasan ini di pihak pembangkang," kata Takiyuddin sebaik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan bangun untuk memulakan sesi penerangan laporan RCI TH.
Namun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan ia tetap diteruskan seperti dijadualkan hari ini walaupun tanpa kehadiran Anwar.
“Kita ada Timbalan Perdana Menteri (TPM) di sini, adakah anda nak downgrade kedudukan TPM? Beliau dan menteri-menteri di sini mewakili Kabinet.
“Kita juga ada dua sesi yang penting iaitu 5 Oktober ini adalah pembentangan Belanjawan 2027, itu boleh digunakan oleh setiap Ahli Yang Berhormat, mintalah apa pun dan dirujuk kepada persidangan hari ini,” katanya.
Rakyat sedang melihat
Dia kemudiannya mempersilakan mana-mana wakil rakyat pembangkang untuk keluar daripada dewan persidangan.
"Kalau sesiapa nak keluar, keluar, sesiapa nak tunggu sila tunggu, sebab rakyat sedang melihat anda," katanya selepas membuat keputusan supaya sidang diteruskan.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, perdana menteri memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas itu.
Anwar sedang menjalani rawatan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).
Umur sudah lebih 50 tahun
Dalam pada itu, Johari turut menegur tindakan pemimpin kerajaan dan pembangkang yang bertikam lidah.
“Saya yakin kalau saya pergi ke bawah, minta IC (kad pengenalan) masing-masing, pastinya umur sudah lebih 50 tahun”.
Sebelum ini, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mempertahankan Dewan Rakyat bersidang hari ini walaupun tanpa kehadiran perdana menteri.

Katanya, kerajaan bekerja secara kolektif dengan rakan-rakan kabinet yang hadir boleh menjawab persoalan yang dibangkitkan.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan dan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan ada,” katanya.
Bersatu minta lebih masa
Sementara itu, Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata semua baki anggota parlimen Bersatu, yang kini berselisih faham dengan komponen PN, akan kekal untuk menyertai sesi taklimat berkenaan.
“Ahli-ahli Parlimen Bersatu adalah pembangkang. Kami tidak akan walk out. Ini isu penting bagi rakyat dan tidak perlu drama politik.
“Kami bahkan minta supaya dipanjangkan tempoh perbahasan. Rakyat perlukan kebenaran.
“ Ini isu penting untuk rakyat dan tidak perlu ada drama politik. Malah kami meminta lebih banyak masa untuk berbahas,” kata Radzi.

Sementara itu, Takiyuddin pada sidang media selepas meninggalkan Dewan Rakyat berkata adalah wajar jika pembentangan dan perbahasan RCI TH dapat dihadiri perdana menteri sebaik sahaja beliau kembali bertugas, memandangkan isu berkenaan sangat penting dan mempunyai kepentingan awam yang tinggi.
Katanya, kehadiran perdana menteri di Dewan Rakyat bagi sidang khas itu amat penting, bagi memberi penjelasan komprehensif khususnya apabila perkara itu dibangkitkan oleh Anwar sendiri.
Laporan RCI
Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.
Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudianya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

