mk-logo
Berita
Zizie Izette dilepas, bebas semua tuduhan subahat rasuah
Diterbitkan:  Jul 20, 2026 10:20 AM
Dikemaskini: 7:25 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Zizie Izette Abdul Samad daripada semua tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Bhd pada 11 tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes terhadap Zizie Izette, 47, melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

"Selepas meneliti keseluruhan keterangan mahkamah ini memutuskan tertuduh berjaya membuktikan keraguan dalam kes ini dan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

“Oleh demikian, mahkamah ini memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan," katanya.

Zizie Izette yang juga isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Bung Moktar Radin kelihatan sebak selepas mendengar keputusan tersebut.

Rosli dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan dikehendaki membuktikan semua elemen penting bagi kesalahan utama terhadap tertuduh pertama Bung Moktar yang telah meninggal dunia pada 5 Dis tahun lepas.

"Dalam kes ini, pertuduhan terhadap tertuduh pertama telah ditarik balik selepas beliau meninggal dunia, atas alasan tersebut elemen subahat tidak dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata tertuduh (Zizie Izette) juga didapati tiada pengetahuan mengenai pelaburan tersebut berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.

Menurut beliau, wang RM2.8 juta yang didakwa sebagai rasuah itu sebenarnya hanyalah bayaran pengenalan, bukannya rasuah memandangkan pembelaan tertuduh adalah selari dengan keterangan saksi pendakwaan ke-24 (Norhaili Ahmad Mokhtar) dan saksi pendakwaan ke-25 (Madhi Abdul Hamid).

“Oleh itu tertuduh tidak bersubahat dengan cara pakatan jahat atau konspirasi dan wang pengenalan bukan rasuah," kata Rosli.

Rosli berkata berdasarkan otoriti adalah jelas menunjukkan bahawa satu daripada elemen kesalahan subahat yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan adalah pembuktian kesalahan prinsipal iaitu si mati (Bung Moktar) telah memperoleh rasuah iaitu satu kesalahan di bawah perenggan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Walau bagaimanapun, terdapat perkembangan terbaru dalam kes ini apabila si mati meninggal dunia pada 5 Dis 2025 dan atas permohonan pihak pendakwaan, mahkamah ini telah memberikan perintah pelepasan dan pembebasan terhadap si mati selaras dengan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

“Akibat perintah pelepasan dan pembebasan tersebut, si mati dianggap sebagai seorang yang tidak bersalah (innocent man) kerana tiada dapatan salah direkodkan terhadap beliau. Dengan kata lain, pihak pendakwaan belum dapat membuktikan kesalahan memperoleh rasuah terhadap si mati pada tahap melampaui keraguan munasabah,” kata hakim itu.

Menurut Rosli, susulan daripada perintah pelepasan dan pembebasan tersebut telah menyebabkan elemen pembuktian kesalahan subahat terhadap tertuduh (Zizie Izette) iaitu pesalah prinsipal dan juga si mati telah melakukan kesalahan rasuah telah terjejas.

"Mengguna pakai prinsip undang-undang yang diputuskan dalam kes ini bahawa jika pesalah utama dilepaskan dan dibebaskan, pesalah subahat (abettor) yang dituduh kerana membantu pesalah utama melakukan kesalahan tersebut juga tidak boleh disabitkan atas kesalahan bersubahat,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata Zizie Izette dalam pembelaannya mendakwa beliau tidak ada pengetahuan dan tidak terlibat dalam urusan rasmi si mati sebagai Pengerusi Felcra Berhad. 

Katanya bagi membuktikan dakwaan itu, pihak pembelaan telah merujuk kepada keterangan tertuduh, si mati dan saksi pendakwaan ke-26 (SP26 bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra Berhad Mohd Azmy Abu Samah) yang jelas menunjukkan bahawa tertuduh tidak terlibat dalam melakukan kesalahan subahat.

Rosli berkata mahkamah mendapati bahawa keterangan tertuduh adalah kredibel dan konsisten dengan keterangan saksi pendakwaan yang lain. 

"Dapatan ini mengukuhkan lagi dakwaan bahawa tertuduh tidak bersalah atas alasan bahawa tertuduh hanya memperkenalkan SP24 dan SP25 (Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid, kedua-duanya ejen pelaburan Public Mutual Berhad) kepada si mati dan SP26.

“Tertuduh tidak menyangka SP24 dan SP25 akan memberikan wang pengenalan hasil daripada sesi perkenalan mereka dengan si mati dan wang pengenalan diberikan secara sukarela.

“Tertuduh tidak memaklumkan si mati tentang penerimaan wang pengenalan serta si mati tidak ada pengetahuan tentangnya selain tertuduh tidak mencampuri urusan kerja dan kewangan si mati serta tertuduh tidak ada pengetahuan tentang pelaburan Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual,” katanya.

Berhubung isu wang pengenalan, Rosli berkata peguam berhujah mendakwa wang pengenalan yang diberikan oleh SP24 dan SP25 kepada tertuduh bukanlah rasuah.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen sebelum ini (Hakim Rozina Ayob) semasa di peringkat kes pendakwaan  telah membuat keputusan bahawa wang pengenalan tersebut adalah rasuah.

"Berdasarkan penjelasan tersebut, mahkamah ini mendapati isu berkenaan telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen terdahulu dan mahkamah ini tidak wajar menimbangkan semula kerana ia akan membawa kepada tindakan menyemak semula keputusan hakim terdahulu," katanya.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala Zizie Izette diwakili peguam Datuk Seri K Kumaraendran, Datuk M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Mohamad Fadhly ketika dihubungi berkata pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut daripada Peguam Negara sama ada untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

-- LAGI

MAHKAMAH-ZIZIE IZETTE 5 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Zizie Izette didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.

Bagaimanapun, pada 16 Jan lepas, Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Dis 2025.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Beliau juga dituduh bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS