ADS
mk-logo
Berita
Isu Gaza: Saya dah tulis, tak payah komen lagi - Rafidah

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz menegaskan dia tidak perlu lagi mengulas mengenai kenyataan PKR yang menyelar pendapatnya berhubung keutamaan kerajaan dalam menyelesaikan isu domestik sebelum menyalurkan komitmen membangunkan semula Gaza.

Ketika dihubungi Malaysiakini, bekas pemimpin veteran Umno itu berkata dia sudah memberikan pandangan lengkapnya mengenai kepentingan menangani isu mendesak dalam negara.

"Saya dah buat artikel yang menyeluruh. Malaysiakini telah melaporkan secara menyeluruh."

"Tak payah komen apa-apa lagi," katanya menerusi mesej ringkas.

ADS

PKR bidas Rafidah

Sebelum itu, Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR berkata Rafidah tokoh berpengalaman dalam hubungan antarabangsa maka dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Pengarahnya, Amidi Abdul Manan turut menekankan keperluan mendesak di Gaza, dengan merujuk kepada pemusnahan besar-besaran yang dilakukan oleh rejim Zionis.

“Malah para doktor perubatan ditangkap atau terbunuh ketika hospital dibom. ⁠Di manakah rasa kasihan belas Tan Sri,” katanya.

Malaysia sebelum ini mengumumkan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, menjadikannya negara Asean pertama yang mengambil inisiatif membangunkan semula wilayah itu.

Projek ini diletakkan di bawah naungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dijangka dilancarkan selepas Ramadan.

Sebelum ini, Rafidah menyatakan dia tidak menentang pembinaan semula Gaza tetapi berpendapat isu dalam negara yang lebih mendesak perlulah ditangani terlebih dahulu.

“Terlalu banyak yang perlu diselesaikan dan dilakukan di negara kita,” katanya.

Rafidah merujuk keadaan "menyedihkan" sekolah-sekolah di luar bandar.

"Begitu juga dengan kekurangan di hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadah,” katanya kepada Malaysiakini.

Rafidah turut menekankan nasib golongan pesara yang menerima pencen bulanan tetapi masih berada di bawah garis kemiskinan.

“Kerajaan tidak sepatutnya mempertikaikan permintaan yang sah dan tepat pada masanya ini, yang telah diputuskan oleh mahkamah negara,” tambahnya.

ADS

Hak milik Gaza

Selain itu, Rafidah berkata kemusnahan di Gaza berlaku di atas "tanah yang dipertikaikan" dan sebarang usaha membina semula mungkin sia-sia jika isu hak pemilikan tidak diselesaikan terlebih dahulu.

“Sehingga badan arbitrasi atau keputusan antarabangsa yang relevan telah membuat keputusan yang jelas dan tidak boleh dipertikaikan yang mesti dipatuhi, sebarang usaha pembinaan semula mungkin akan menjadi sia-sia.

"Akan ada pertelingkahan dan pertempuran yang berterusan. Dan usaha pembinaan semula tidak akan berhasil,” tambahnya.

Sebagai alternatif, dia mencadangkan kerajaan menubuhkan dana kemanusiaan khas selepas konflik benar-benar selesai.

“Jemput sektor swasta untuk menderma, dengan pelepasan cukai, serta penglibatan minimum atau tanpa penggunaan wang pembayar cukai oleh kerajaan,” tambahnya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 29 Januari berkata usaha pembangunan semula Gaza akan melibatkan kerjasama antara Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

Pada 18 Jan lepas, Anwar dilaporkan berkata pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion.

Dia berkata jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah.

Menurut Anwar, Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama dalam Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), yang memfokuskan pada pembangunan semula Gaza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS