Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyalurkan pembiayaan sejumlah RM500,000 kepada sebuah jenama cermin mata yang diusahakan usahawan tempatan Borneo, Robert T 1994.
Pembiayaan itu disalurkan melalui agensinya Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) untuk membantu Robert T 1994 mengembangkan premis di seluruh Sabah.
“Saya berharap syarikat ini terus berkembang pesat seperti usahawan-usahawan francais yang lain,” kata menterinya Ewon Benedick.
“Melalui pembiayaan RM500,000, saya juga berharap ia memberi motivasi dan inspirasi kepada usahawan-usahawan lain di seluruh negara agar turut sama mengambil bahagian dalam sektor keusahawanan.”
Katanya, Kuskop dan agensi seperti Pernas terus menawarkan perkhidmatan dan pembiayaan yang bersesuaian agar dapat menyumbang kepada ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Cabutan Bertuah RobertT 1994, di Suria Sabah Shopping Mall, di Kota Kinabalu, semalam.
Sementara itu, Ewon juga berkata, Pernas akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) dan pelbagai agensi keusahawanan di Sabah bagi program memperkasakan usahawan negeri.
“Saya mahu menumpukan tenaga saya untuk menjadi sebahagian daripada pemantauan dan penyelesaian ini.
“Soal politik, ada masanya kita bincang, yang penting mandat dan tanggungjawab telah diberi dan saya mahu laksanakan,” katanya.