Bersih menyatakan sokongan terhadap perhimpunan aman Gempur Rasuah Sabah yang digerakkan oleh aktivis mahasiswa di negeri itu hari ini.
Bersih mengingatkan bahawa hak untuk berhimpun dan bersuara adalah hak yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Semua rakyat berhak menyatakan kegusaran dan tuntutan mereka secara aman dan berdasarkan lunas undang-undang dan prinsip hak asasi manusia,” menurut kenyataan Bersih semalam.
Bersih turut menegaskan bahawa himpunan yang dianjurkan mahasiswa Sabah mencerminkan keprihatinan rakyat terhadap tindakan kerajaan serta keinginan untuk melihat sebuah pentadbiran yang bebas daripada rasuah.
Selain itu, Bersih juga menyedari akan adanya perhimpunan balas terhadap Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah.
Bagaimanapun, NGO itu menyeru agar perhimpunan balas diadakan di lokasi berasingan untuk mengelakkan sebarang konflik atau insiden yang tidak diingini.
“Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman memberi hak untuk sebarang perhimpunan dilaksanakan termasuk perhimpunan balas, namun ia perlu berlangsung di tempat lain agar tidak berlaku pertembungan mahupun cetusan kepada perkara yang tidak diingini,” kata kenyataan itu lagi.
Bersih turut menggesa semua pihak agar bersikap rasional dan menghormati hak kebebasan bersuara masing-masing.
Perhimpunan antirasuah itu dijadualkan berlangsung di luar Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah meskipun mendapat tentangan pihak berkuasa. Ketua Polis Sabah, Jauteh Dikun, sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap ketenteraman awam sebagai sebab menolak perhimpunan itu.
Dia juga memaklumkan bahawa lokasi tersebut telah digunakan untuk program Karnival Ria anjuran kerajaan dan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Jauteh menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa pihak polis tidak menolak perhimpunan itu tetapi meminta penganjur memenuhi keperluan di bawah Seksyen 10 Akta Perhimpunan Aman 2012.
Setakat ini, penganjur dilaporkan belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, termasuk menyerahkan maklumat lengkap tentang perhimpunan dan surat kebenaran daripada pemilik lokasi.