Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Industri solar dijangka pesat 2025 susulan kos elektrik, inisiatif hijau
Diterbitkan:  Dec 30, 2024 4:30 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Peningkatan kos elektrik dan keperluan syarikat untuk melaporkan inisiatif penjimatan tenaga dijangka mempercepat penerimagunaan solar pada 2025,  kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya langkah ini akan  mendorong nilai perolehan kontrak dalam tangan kepada paras tertinggi sepanjang masa bagi pemain kejuruteraan solar, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Menurutnya pendorong utama termasuk kontrak EPCC bernilai RM2.4 bilion daripada Program Tenaga Hijau Korporat 800 megawatt (MW), dengan pengiktirafan pendapatan mulai suku pertama 2025 dan kontrak EPCC pusingan bidaan solar berskala besar (LSS5) kelima bernilai RM5 bilion yang dijangka diberikan dalam tempoh sama.

Kenanga Investment berkata sebahagian pemenang bidaan LSS5 telah diumumkan, dan menjangka Solarvest Holdings Bhd adalah antara syarikat yang belum diumumkan sebagai pemenang bidaan itu. 

Walaupun pembida telah disenarai pendek baru-baru ini, Suruhanjaya Tenaga belum mengumumkan pemenang atau julat bidaannya yang dijangka disebabkan sensitiviti masa, kata bank pelaburan itu.

"Inisiatif ini yang dijangka mengekalkan pertumbuhan sektor berkenaan sehingga 2028, selaras dengan penurunan harga panel berikutan lebihan bekalan, meningkatkan margin kontraktor EPCC solar, dan mendorong pelaburan dalam sistem tenaga solar.

"Kami mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap sektor ini, disokong pelaksanaan yang teguh bagi inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) oleh kerajaan dan penambahan peruntukan kuota solar," kata Kenanga Investment.

Menurutnya harga panel solar yang menghampiri titik perubahan pada 2025, menyusut kepada paras terendah sepanjang masa iaitu 9 sen AS /watt (US$1=RM4.46), lebih rendah daripada kos pengeluaran, dengan isyarat awal bahawa lebihan bekalan yang tinggi dalam industri solar dijangka berkurangan.

"Dalam persekitaran yang berdaya saing ini, pengeluar solar China berusaha keras untuk mengekalkan bahagian pasaran, dan harga rendah yang berterusan ini memberikan mereka tekanan yang ketara.

"Kami menjangkakan kebanyakan pengeluar solar akan mencatat kerugian tahun ini, dengan sebahagiannya tidak berupaya berdepan tekanan kewangan dan akhirnya keluar daripada pasaran," katanya.

Kenanga Investment berkata walaupun tekanan ini mungkin menyediakan peluang pemulihan, peningkatan yang ketara pada 2025 tidak mungkin berlaku, menyebabkan penggiat TBB masih berpeluang menikmati margin yang baik.

“Selain itu, pengeluar solar China menghentikan pengeluaran di kilang Asia Tenggara berikutan prospek eksport lemah akibat kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap panel solar yang diimport dari China -- meningkat kepada 50 peratus daripada 25 peratus pada 1 Ogos 2024,” katanya.

Menurut bank pelaburan itu, Longi telah menghentikan kesemua lima rangkaian pengeluaran di kilangnya di Vietnam dan sedang menamatkan operasi di Malaysia manakala Trina menutup kilang di Thailand dan Vietnam.

"Walaupun dengan penyesuaian ini, bekalan panel solar global masih berlebihan, dan kami menjangkakan harga modul solar akan mencapai 9 sen AS /watt menjelang akhir tahun, meneruskan penurunan selama bertahun-tahun," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment berkata pasaran semakin berkembang bagi sijil TBB (REC), dipacu oleh komitmen korporat terhadap inisiatif Renewable Energy 100 dan pusat data yang menyasarkan status "hijau."

Menurutnya Tenaga Nasional Bhd menerima lebih 70 permohonan bekalan elektrik ke pusat data, dengan gabungan permintaan sebanyak 11 gigawatt yang berpotensi menjana RM1.1 bilion setiap tahun dalam pasaran REC.

Solarvest menawarkan REC pada harga kompetitif US$5 hingga US$6 bagi setiap MW daripada tarif elektrik hijau Tenaga iaitu US$10 setiap megawatt, katanya.

“Menjelang 2050, mendorong ekonomi memerlukan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada penggunaan elektrik semasa, dipacu oleh peralihan kepada proses elektrik dan permintaan tenaga yang meningkat daripada teknologi kecerdasan buatan,” kata bank pelaburan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS