Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amiruddin: Saya kekal terajui Selangor hingga akhir penggal
Diterbitkan:  Dec 14, 2024 10:33 PM
Dikemaskini: 3:19 PM

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menegaskan dia akan kekal dalam jawatannya sekurang-kurangnya sehingga tamat penggal.

Amirudin berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini di tengah-tengah spekulasi mengenai jawatannya, susulan khabar angin bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz menyertai PKR.

"Saya melihat pelbagai bentuk spekulasi yang menular dua tiga hari ini.

"Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) kepada saya, dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.

"Saya akan kekal di Selangor sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan kerajaan perpaduan negeri Selangor," katanya.

Zafrul, yang merupakan ahli majlis tertinggi Umno dan ketua bahagian Kota Raja di Klang, dispekulasikan merancang untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memberitahu Malaysiakini semasa wawancara semalam bahawa dia tidak menerima sebarang permohonan daripada senator itu untuk menyertai parti mereka setakat 30 Nov.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkata dia tidak tahu mengenai sebarang rancangan Zafrul untuk menyertai PKR.

Laman web Suara TV menyiarkan laporan semalam mendakwa bahawa langkah menyertai PKR akan membuka jalan untuk rencana bagi Zafrul menggantikan Amirudin sebagai menteri besar.

Untuk rekod, Zafrul bukan ahli dewan undangan negeri Selangor, yang merupakan prasyarat untuk menjadi menteri besar.

Menurut laporan itu, PKR akan mengadakan pilihan raya kecil untuk Zafrul menjadi Adun dan seterusnya menjadi menteri besar.

Laporan itu juga mendakwa Amirudin akan mengambil peranan baru di peringkat persekutuan.

Pelantikan Zafrul sebagai senator tamat pada Disember 2025 di mana dia juga akan kehilangan jawatan menteri. Dia tidak boleh dilantik semula untuk penggal lain sebagai senator kerana dia sudah mencapai had penggalnya.

Sementara itu, mandat kerajaan Selangor sekarang kekal sehingga 2028.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS