Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO hak asasi selar kerajaan gagal penuhi janji reformasi

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyelar kerajaan Madani kerana didakwa kurang komitmen dalam melaksanakan janji-janji reformasi khususnya berkaitan kebebasan bersuara.

Dalam laporan tahunan "Keadaan Kebebasan Bersuara 2024" yang dilancarkan hari ini, CIJ berkata pihak berkuasa menggunakan undang-undang menindas sebanyak 187 kali dari Januari hingga November untuk menyekat kebebasan bersuara, berhimpun, dan berekspresi.

Antara undang-undang ini termasuk Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), Akta Perhimpunan Aman, serta Kanun Keseksaan.

"Yang membimbangkan, Akta Hasutan dan Seksyen 233 CMA terus menjadi alat yang paling kerap digunakan, dengan Seksyen 233 sahaja menyumbang lebih separuh daripada semua siasatan yang direkodkan.

"Penggunaan undang-undang ini mengesahkan pemerhatian kami terhadap kurangnya komitmen kerajaan Madani untuk memenuhi janji reformasi mereka," kata Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu.

Laporan itu dilancarkan dalam satu acara di Kampung Attap, Kuala Lumpur, yang turut disertai forum membincangkan isu tersebut.

CIJ turut membangkitkan kebimbangan terhadap langkah kerajaan memperkenalkan pindaan baru terhadap CMA dan Akta Keselamatan Dalam Talian yang diluluskan di Dewan Rakyat, yang didakwa boleh mengehadkan kebebasan di ruang digital.

Wathshlah berkata langkah-langkah ini berisiko menjadikan ruang dalam talian "terlalu dikawal selia" dan mengukuhkan penguasaan pihak berkuasa terhadap platform digital.

Laporan itu juga menyatakan kerajaan ingkar janji berkaitan kebebasan media dengan menyekat laman berita dan menyiasat wartawan.

CIJ turut mengecam siasatan dan tangkapan berkaitan hantaran dalam talian, yang dikatakan mencetuskan kesan "chilling effect" terhadap rakyat Malaysia yang ingin menyuarakan pandangan berbeza.

Justeru Wathshlah mengesa kerajaan memansuhkan atau meminda undang-undang menindas, serta memperkukuhkan mekanisme pengawasan bebas.

"Kami juga mendesak kerajaan mempercepatkan penubuhan Majlis Media Malaysia dan meluluskan Akta Hak untuk Maklumat bagi melindungi kebebasan media dan akses awam kepada maklumat," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS