Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengumumkan menarik diri daripada PN susulan pendirian gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lalu dan telah dimaklumkan kepada ibu pejabatnya.
“Jelas kelihatan bahawa PN ingin bertanding dalam pilihan raya Sabah yang akan datang, satu pendirian yang bertentangan dengan pendirian dan dasar SAPP yang selama ini menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya ditandingi oleh parti-parti tempatan Sabah.
“Pendirian SAPP ini selaras dengan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan autonomi Sabah.
“Kami tidak boleh berkompromi dengan komitmen kami untuk memastikan bahawa pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri Sabah kekal di bawah bidang kuasa parti-parti tempatan, bebas daripada campur tangan parti-parti yang berpusat di Semenanjung," kata Yong dalam satu kenyataan.
SAPP merupakan satu-satunya parti komponen dalam pakatan pembangkang di Sabah.
Parti itu pernah menggotai BN sebelum menyertai PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebelum ini SAPP tidak bersetuju dengan cadangan agar parti-parti nasional bertanding dalam pilihan raya negeri.
Yong, yang juga bekas ketua menteri Sabah, pada September lalu menggesa PN agar tidak menyertai pilihan raya negeri itu.
Namun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata keputusan sama ada PN akan bertanding pada PRN Sabah atau tidak akan ditentukan sendiri oleh gabungan itu.
Katanya, ini bermakna keputusan itu bukan dibuat pihak lain termasuk SAPP.
"Ia bergantung kepada kita yang buat keputusan, bukan mereka buat keputusan,” katanya.