Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad ramal Bersatu 'bungkus' di Sabah tak lama lagi
Diterbitkan:  Dec 11, 2024 2:40 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Seorang pemimpin kanan Umno meramalkan Bersatu bakal “bungkus” dalam pilihan raya negeri (PRN) di Sabah yang dijangka berlangsung tahun hadapan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata parti tersebut tidak mempunyai kepimpinan serta ahli yang jitu di negeri terbabit bahkan mereka mendapat wakil rakyat sebelum ini secara "percuma".

Memetik kenyataan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka nanti, Mohd Puad berkata, mereka juga berdepan dengan kesukaran lain.

"Bersatu sukar mencari poster boy di PRN Sabah. Bersatu satu-satunya parti yang bermula dengan Adun lompat.

"Parti itu dapat 'YB percuma' kerana mereka pelarian dari parti asal.

"Semua Adun Bersatu di Sabah berasal dari Umno. Kini mereka masuk GRS dan meninggalkan Bersatu terkontang-kanting.

"Begitu juga di Semenanjung Malaysia. Pemimpin utama Bersatu (merupakan) dukungan pelarian politik dari Umno," tulis Mohd Puad dalam satu hantaran di Facebooknya.

Sebelum ini dalam satu wawancara dengan sebuah portal tempatan, Muhyiddin berkata parti itu belum memutuskan gabungan kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.

Muhyiddin berkata, parti itu akan lebih kuat sekiranya bergerak secara gabungan berbanding tampil solo berdasarkan situasi politik semasa di negeri itu.

Pada 2 Dis lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, berkata parti itu bersedia untuk membuat persiapan bagi menghadapi PRN Sabah.

Oleh itu, katanya, Ibu Pejabat Bersatu akan menyusul dengan beberapa tindakan turun ke lapangan bagi membuat audit kekuatan jentera di semua bahagian.

Mohd Puad berkata, Bersatu tidak lagi boleh mengharapkan PAS untuk menghadapi PRN Sabah kerana rakan sekutu mereka itu tidak mempunyai kekuatan di negeri berkenaan.

"Berbanding semenanjung, di Sabah parti PAS tidak kuat untuk melindungi Bersatu.

"Kecuali Bersatu dapat rakan strategik baru, dijangka Bersatu akan bungkus dalam PRN Sabah kali ini.

"Sebab itu jangan bergantung dengan pelarian," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS