Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa pelaburan projek ayam kampung dakwa diugut sindiket
Diterbitkan:  Dec 10, 2024 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Mangsa pelaburan projek ayam kampung yang menggunakan nama sebuah pertubuhan mendakwa mereka menerima ugutan selepas polis menumpaskan sindiket penipuan itu.

Wakil perserta yang menjadi mangsa penipuan pelaburan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Jamil berkata, individu dikaitkan dengan pertubuhan itu turut menghantar mesej berbaur ugutan melalui aplikasi WhatsApp.

Malah, katanya, ada di kalangan mereka yang turut mengancam untuk bertindak balas melalui proses undang-undang selepas kegiatan pertubuhan itu dibongkar polis sebelum ini.

"Beberapa orang dalam kalangan kami yang sebelum ini mendedahkan mengenai kegiatan penipuan pertubuhan ini berdepan dengan ugutan.

"Ada yang menerima ugutan berunsur kekasaran dan ada yang berdepan ugutan bakal berdepan tindakan undang-undang daripada mereka.

"Pihak kami juga telah membuat laporan polis dan menghantar surat kepada menteri dalam negeri supaya tindakan segera diambil terhadap individu yang berkaitan," katanya kepada Malaysiakini.

Berdasarkan surat yang dilihat Malaysiakini, surat berkenaan telah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada 27 September lalu.

Pada 12 Julai lalu, polis dalam satu sidang media mengumumkan kejayaan menumpaskan sindiket pelaburan ayam kampung yang menggunakan nama sebuah pertubuhan.

Seramai 11 individu disyaki ahli Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak (PAKKP) dilapor ditahan berkait kes penipuan yang beroperasi sejak awal tahun lalu, membabitkan kerugian lebih RM3 juta.

Malaysiakini pada 7 Jun lalu melaporkan mangsa terjerat dengan projek yang dijenamakan sebagai ‘infak’ mengalami kerugian mencecah RM300,000.

Modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan pelaburan berkaitan perniagaan ayam kampung dengan pulangan RM13 sepanjang hayat bagi setiap pelaburan RM250.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 85 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan pelaburan ini dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM3,297,254.79.

Sementara itu, Jamil berharap agar pihak berkuasa segera bertindak terhadap kumpulan berkenaan yang dikatakan kembali aktif.

"Saya mewakili kawan-kawan yang lain, kami berharap agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan ini dengan mendakwa mereka di mahkamah.

"Saya difahamkan pertubuhan ini sedang berusaha untuk menghidupkan kembali kegiatan mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS