Penyanyi popular era 60-an, Aspalela Abdullah meninggal dunia pada usia 79 tahun kira-kira pukul 10 pagi tadi, semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, selepas terjatuh di bilik air di rumahnya Taman Melati, di sini.
Berita pemergian Aspalela disahkan cucunya, Puteri Wan Nur Izzati Azhari, 30, ketika dihubungi Bernama.
“Pada tadi, semasa mak (panggilannya terhadap Aspalela) masuk ke dalam bilik air, dia tiba-tiba terjatuh. Keadaan mak lemah ketika itu dan kami segera menelefon pihak ambulans untuk bawa dia ke hospital.
"Bagaimanapun doktor telah sahkan dia menghembuskan nafas terakhir sekitar 10 pagi tadi," katanya.
Puteri Wan Nur Izzati turut memaklumkan kesihatan Allahyarhamah sedikit merosot sejak beberapa bulan ini dan Allahyarham banyak meluangkan masa di rumah berikutan menghidapi pelbagai penyakit seperti gout dan darah tinggi.
Beliau berkata jenazah Allahyarhamah masih berada di hospital dan dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak hari ini.
Aspalela merupakan juara Bintang Radio 68 dan sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, Allahyarhamah telah menghasilkan lima album, antaranya Album Joget Cari Makan yang diterbitkan Omar Taib edaran WEA (kini Warner Music) pada tahun 1991.
Antara lagu-lagu Allahyarham yang terkenal ialah Payung Mahkota dan Titian Kasih Ke Syurga.
Sementara itu pelakon veteran Norlia Abdul Ghani atau Norlia Ghani menyifatkan Allahyarham sebagai insan tidak lokek ilmu, yang dapat disaksikan sejak mereka semakin rapat selepas menyertai kumpulan Marhaban Artis Wanita Malaysia (AWM) yang dipimpin penyanyi lagenda Datuk Yusni Hamid, sekitar 2014.
Norlia berkata sebagai penolong dalam kumpulan itu sering berkongsi ilmu dengan rakan artis lain mengenai kaedah marhaban yang betul dalam mengalunkan qasidah, nasyid dan selawat.
"Kami anggap dia sebagai kakak atau mak... disebabkan arwah pandai marhaban, beliau akan tegur jika ada kesilapan dan bagaimana untuk memperbaiki (kesalahan itu) selain Allahyarham juga ada mengajar artis mengaji," katanya ketika dihubungi Bernama.
Penyanyi dan pelakon Rozita Rohaizad pula menyifatkan Allahyarhamah sebagai penyanyi lagu irama Melayu asli yang tiada tandingan dan mempunyai lenggok asli suara tersendiri.
- Bernama