Sekali lagi gesaan agar Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berundur dari jawatan itu digemakan Pemuda Umno Malaysia.
Jika semalam ketuanya yang bersuara, hari ini bendahari gerakan itu, Naim Moktar, pula membuat kenyataan yang senada.
Kata Naim, pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) itu perlu melepaskan jawatannya secara bermaruah demi masa depan ekonomi negeri dan rakyat.
Sebagai ganti mengepalai kerajaan negeri, Naim mencadangkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan, sebagai ganti.
"Kita perlu mengakui bahawa deficit of trust (kemerosotan keyakinan) akan meningkatkan risiko kemelesetan ekonomi Sabah.
"Saya yakin bahawa Datuk Seri Hajiji juga memahami konsep “risk management” dalam disiplin ekonomi.
"Oleh itu, berundurlah secara bermaruah demi kepentingan ekonomi rakyat dan ekonomi Sabah sebelum potensi perkembangan ekonomi menerusi pelaburan asing terjejas.
"Usahlah mengorbankan ekonomi rakyat demi kepentingan kuasa dan politik peribadi. Beri peluang kepada Datuk Seri Jeffrey menerajui pentadbiran negeri bagi memulihkan krisis deficit of trust," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji kini berdepan desakan agar melepaskan jawatan ekoran pendedahan siri video yang didakwa menjadi bukti berlaku skandal rasuah di negeri tersebut.
Adun Sulaman itu bagaimanapun menafikan terlibat dalam skandal berkenaan dan menjanjikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika dia disiasat.
Kata Hajiji, dakwaan rasuah itu muncul selepas pihak terbabit gagal mendapat apa yang mereka ingini daripada kerajaan negeri.
Pada masa sama bekas Pengerusi Bersatu Sabah itu berharap individu yang membuat dakwaan rasuah berkenaan wajar ditangkap dan disiasat terlebih dulu.
Pertikaian semasa politik Sabah turut menyaksikan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut, menyarankan agar pengerusi Umno negeri itu, Bung Moktar Radin, melepaskan jawatan ekoran terpalit dengan pertuduhan rasuah.
Kata Naim, beberapa pihak meramalkan keadaan ekonomi akan mencabar pada tahun depan, justeru tidak wajar Hajiji kekal menjadi ketua menteri ketika tahap keyakinan rakyat kepadanya merosot.
Naim yang juga Ketua Pemuda Umno Kinabatangan menambah untuk menghadapi cabaran ekonomi pada 2025, Jeffrey sesuai diberikan amanah sebagai ketua menteri.
"Star merupakan pakatan politik PGRS dalam membentuk kerajaan Sabah.
"Datuk Seri Jeffrey selaku pemimpin politik berpengalaman perlu diberikan peluang sewajarnya bagi membendung krisis integriti, reputasi dan kredibiliti yang menjejaskan imej Sabah," katanya.