Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batu bersurat Ledang: Exco Johor, Melaka akan teliti

Kerajaan Negeri Johor akan menyemak dakwaan wujud batu bersurat misteri di puncak Gunung Ledang, Johor.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon ketika dihubungi berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Taman Negara Johor mengenai kewujudan batu bersurat itu.

“Saya akan tanya dan dapatkan perkembangan terkini dulu daripada Taman Negara dan maklumkan semula,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.

Adun Yong Peng itu berkata demikian mengulas dakwaan keberadaan batu bersurat di puncak Gunung Ledang.

Jabatan Warisan Negara sebelum ini turut digesa untuk segera menyiasat dakwaan penemuan artifak bersejarah itu.

'Dipandang sepi'

Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Johor, Mohd Azlan Sharif berkata, tanpa perlindungan dikhuatiri batu yang ingin dipastikan nilai sejarahnya itu akan menjadi mangsa vandalisme sebelum dapat disahkan bahasa, jenis tulisan dan tarikh ia dipahat.

Mohd Azlan menjelaskan Jabatan Warisan Negara dan Yayasan Warisan Johor sedia maklum berhubung penemuan batu itu, namun ia ‘dipandang sepi’.

“Saya tahu cerita tu (kewujudan batu bersurat di puncak Gunung Ledang), tapi kedudukan batu bersurat itu sebenarnya dekat Melaka. Dekat Gunung Ledang tapi dari sebelah negeri Melaka.

“Dan ia bukan baru ditemui sekarang, ia dah lama dan siapa yang daki Gunung Ledang mesti tahu mengenainya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penemuan batu bersurat misteri terbabit.

Sebelum ini timbul pertikaian jika batu bersurat itu benar-benar artifak kuno atau sekadar goresan kenang-kenangan dari tarikh yang lebih moden.

Terdapat pelbagai dakwaan mengaitkan batu bersurat itu dengan watak legenda Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah dan raja Jawa dari kerajaan Demak.

Ada juga video pengguna media sosial yang mendakwa ia tulisan Jawi lama malah ada pula menncetuskan spekulasi tulisan pada batu bersurat itu ialah aksara kuno Kawi. Namun, sehingga kini masih tidak jelas perkataan yang terukir pada batu itu.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya akan mengkaji kesahihan batu bersurat tersebut.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Abd Razak Abd Rahman berkata setakat ini pihaknya tiada makluman mengenainya.

Namun, Abd Razak berjanji akan membuat semakan.

“Saya tidak dimaklumkan dan tidak ada maklumat tentang penemuan itu tapi nanti saya semak dulu,” katanya ketika dihubungi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS