Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata dia telah “dipermainkan” oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low), yang disifatkannya sebagai seorang yang "berkarismatik".
Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bekas menteri kewangan itu menjelaskan mengapa Low pernah dilihat berada di kediamannya di Langgak Duta pada waktu-waktu tertentu.
Sebagai bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB, Najib berkata keyakinannya terhadap Low adalah berdasarkan imej meyakinkan yang ditampilkan ahli perniagaan tersebut, termasuk sokongan daripada seorang bekas Yang di-Pertuan Agong dan kebolehannya menjalin hubungan dengan kerabat diraja Timur Tengah.
"Tambahan pula, hubungan Jho Low dengan keluarga diraja Saudi terbukti sangat berharga semasa krisis Arab Spring di Mesir, apabila beliau menggunakan hubungan ini untuk mempermudah pemindahan ribuan rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir ke Arab Saudi tanpa visa, dan seterusnya pulang ke Malaysia. Malah, beliau berjaya mendapatkan dua penerbangan Boeing 747 untuk membawa rakyat Malaysia pulang.
"Bagi saya, kebolehan Jho Low untuk menjalin hubungan di peringkat tinggi seperti itu mengukuhkan keyakinan bahawa beliau boleh dipercayai untuk memajukan kepentingan Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Selain itu, apa yang membezakan lelaki muda yang agak berisi ini ialah karisma luar biasa dan kebolehan yang luar biasa untuk bergerak dalam pelbagai kelompok berpengaruh, serta secara konsisten menampilkan dirinya sebagai individu yang mampu mencapai hasil untuk Malaysia.
"Satu lagi contoh penting ialah makluman awal daripada beliau kepada saya bahawa Arab Saudi telah bersetuju untuk meningkatkan kuota haji Malaysia sebanyak 10,000, yang merupakan kelulusan khas diberikan kepada saya selepas permohonan bertulis saya kepada Baginda Raja Saudi.
"Imej profesionalisme dan kecekapan strategik yang dibina oleh beliau, digabungkan dengan sikapnya yang meyakinkan, menjadikannya kelihatan sebagai seseorang yang layak dipercayai," kata Najib ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana sebanyak RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Bekas perdana menteri itu menjelaskan bahawa pada waktu itu, dia tiada sebab untuk meragui niat atau tindakan Low, dan hubungan dengan ahli perniagaan itu didorong oleh kepentingan terbaik Malaysia.
Disensasi secara berlebihan
Namun, Najib menegaskan bahawa dia tidak pernah memberi kuasa kepada Low untuk melakukan sebarang kesalahan dalam 1MDB.
"Malangnya, kepercayaan saya terhadap Jho Low telah disalahgunakan, dan kini saya secara salah dikaitkan sebagai bersubahat dalam kesalahan beliau hanya kerana kehadirannya di kediaman saya dan hubungan rapat yang dikatakan antara kami," keluhnya.
Najib juga mendakwa isu ini disensasikan secara berlebihan oleh beberapa saksi utama pihak pendakwaan.
Mereka ialah bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas penasihat undang-undang dana itu, Jasmine Loo dan bekas pengurus perhubungan Najib, Joanna Yu.
Najib menyatakan bahawa saksi-saksi ini mengaku pernah melawat kediaman Low di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.
"Shahrol mengaku di mahkamah bahawa dia memasak nasi goreng untuk Jho Low, dan jangan kita lupa bahawa Yu pernah memasak sup untuk Jho Low ketika dia tidak sihat.
"Untuk rekod, saya tidak pernah menyediakan sebarang hidangan untuk Jho Low," kata Najib kepada hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah.
Pada 30 Oktober, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa yang berasingan melibatkan dana RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.