Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berhibur di Golok: 3 anggota polis ditukarkan
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Tiga anggota polis yang dikesan terlibat dalam aktiviti salah laku apabila mengunjungi pusat hiburan di Golok, Thailand akan ditukarkan, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Katanya ketiga-tiga mereka yang masing-masing berpangkat sarjan mejar, koperal dan lans koperal disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Menurut Razarudin, mereka berusia antara 26 hingga 32 tahun.

Katanya seorang daripada mereka ditukarkan dari Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas ke Kem Komandan IPK Kelantan, manakala dua lagi masih bertugas di IPD Tanah Merah dan akan ditukar keluar dari kontinjen Kelantan.

“Pada 10 Nov lalu JIPS IPK Kelantan menerima beberapa keping gambar dan video berhubung aktiviti salah laku anggota polis yang disyaki mengunjungi dan berhibur di pusat hiburan di Golok menggunakan laluan pangkalan haram, selain dipercayai mempunyai hubungan dengan ceti haram.

“Aktiviti mengunjungi pusat hiburan ini dipercayai berlaku sejak awal tahun ini dan pusat hiburan yang kerap dikunjungi ialah kelab 616, kelab Joker, kelab Alison, kelab Kepak dan kelab Perfect,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata siasatan pihak JIPS IPK Kelantan dalam proses untuk penentuan prosiding oleh Pihak Berkuasa Tatatertib Kelantan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS