Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwa Anwar sabotaj Sanusi: NGO buat laporan polis terhadap blogger
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 6:30 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Sebuah gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) membuat laporan polis terhadap penulis blog kontroversi yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pelaburan di beberapa negeri dan menjejaskan reputasi kredibiliti kerajaan MADANI.

Pengerusinya Mustapa Mansor berkata penulis blog itu menerusi perkongsian video di laman sosial membuat kenyataan menuduh Anwar melakukan sabotaj terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pelaburan di negeri itu.

Beliau berkata menerusi video itu, penulis blog lelaki tersebut turut mendakwa Perdana Menteri mengugut pelabur untuk tidak melabur di Kelantan, Terengganu dan Perlis.

"Kami mahu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap penulis blog itu," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wang ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan menerima laporan tersebut.

Terdahulu muncul satu video berdurasi 11 minit 23 saat yang disyaki dimuat naik penulis blog tersebut di media sosial yang mendakwa Anwar cuba mensabotaj Muhammad Sanusi itu supaya pelabur keluar dari Kedah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS