PARLIMEN | Pertengkaran di antara dua blok berbeza memang sesuatu yang lumrah di Dewan Rakyat, namun hari ini keadaan sedikit berbeza apabila sidang dihangatkan oleh perbalahan membabitkan dua penyokong kerajaan.
Berkisar mengenai isu sekolah vernakular, dua ahli parlimen masing-masing dari BN dan PH bertikam lidah sehingga mendorong wakil dari pembangkang mencelah.
Terjadi ketika perbahasan mengenai Belanjawan 2025 di peringkat jawatankuasa, Chong Zhemin (PH-Kampar) mendakwa Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menghina Dewan Rakyat berhubung hantaran dibuat Presiden MCA itu di Facebook pada bulan lalu.
Menurut Chong, Wee pernah mendakwa Dewan Rakyat melarang ahli parlimen membahaskan isu sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) namun segera dinafikan oleh bekas menteri berkenaan.
Wee - yang merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(1) berhubung kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat - mendakwa Chong tidak faham apa yang ingin diutarakannya melalui Facebook pada bulan lalu.
Kata Wee dia kecewa kerana persoalan mengenai SJKC yang dibangkitkannya hanya dijawab oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui jawapan bertulis.
Penjelasan sebegitu, kata Wee, menyebabkan dia tidak boleh berhujah lebih lanjut kerana ia diterima selepas sidang dewan berakhir.
"Apa yg saya kata ialah, sebelum ini apabila lapan kali saya tanya (mengenai SJKC) dan kebetulan lapan kali juga jawapan secara bertulis diterima.
"Saya kata, takkanlah lapan kali tak ada jawapan secara terus (lisan) supaya kita dapat berinteraksi.
"Saya yakin hari ini menteri akan beri jawapan kepada saya... tak ada isu. Saya pun tak bangkitkan.
"Tapi dia (Chong) yang kata kita tak boleh bahas di sini. Saya sarankan dia belajar BM (bahasa Melayu) lagi, balik ke sekolah," kata Wee.
Beri masa untuk bertekak
Kata-kata bekas menteri pengangkutan itu menyebabkan Chong berang lalu segera membantah dengan mendakwa Wee sebenarnya yang tidak mahir berbahasa Melayu.
Justeru, kata Chong, Wee yang sepatutnya perlu kembali ke sekolah untuk mendalami bahasa Melayu.
"Saya kata dalam posting Facebook, dia (Wee) bagi satu posting bahawa isu SJKC tak boleh bahas dalam parlimen. Ini ada terang-terang dalam FB Wee Ka Siong.
"Ini tipu atau apa? Jangan pusing-pusing. Ada dalam FB Ayer Hitam, dia kata dalam parlimen tak boleh bahas isu SJKC.
"(Kenyataan) ini kena tarik balik. Kalau betul salah (fakta) sila delete (padamkan)," katanya.
Ketika itulah Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) bangkit dan menjelaskan apa yang berlaku itu memalukan saja kerana pergaduhan terjadi melibatkan dua penyokong kerajaan.
"Tuan pengerusi, ini sama-sama ahli parlimen kerajaan berkelahi di sini buat malu saja ni," katanya.
Namun Wee dan Chong terus berbalah sehinggalah seorang lagi ahli parlimen pembangkang, Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mencelah.
Secara sinis Wan Saiful berkata: "Saya cadangkan beri masa tambahan kepada kedua-dua ahli parlimen tu supaya mereka boleh sambung bergaduh lagi."
RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian bangun untuk 'menyambut' saranan Wan Saiful.
"Saya minta PN jangan jadi batu api," katanya.
Keadaan kemudian reda apabila Chong dan Wee tidak memperpanjang pertelingkahan berkenaan sebelum ahli parlimen lain mengambil giliran untuk berbahas.