PN akan menjadikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun depan, kata pengerusinya, Muhyiddin Yassin hari ini.
Muhyiddin berkata dia bersetuju dengan permintaan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee agar parti itu memasukkan pelaksanaan MA63 yang termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dalam manifestonya.
"Dia kata, ini apa sudah terkandung MA63 dan perlembagaan Malaysia, itu mesti dimasukkan dalam manifesto PRN Sabah yang akan diadakan tak lama lagi.
"Saya jawab ya, kita akan masukkan," katanya, sambil menambah perkara itu akan menjadi salah satu perkara teras dalam manifesto gabungan itu.
Muhyiddin berkata demikian ketika ucapan penutup perhimpunan agung Bersatu hari ini.
MA63 diwujudkan berdasarkan persetujuan Sabah dan Sarawak untuk menyertai Tanah Melayu dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pada September lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata sebanyak 11 tuntutan di bawah paltform rundingan MA63 telah diselesaikan.
Ini termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
Dalam ucapan penggulungan di perhimpunan Bersatu hari ini, Ronald menggesa kerajaan persekutuan mengembalikan 40 peratus hasil Sabah kepada negeri itu.
Ronald berkata, ini boleh dilakukan melalui Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, yang menyediakan geran dan hasil khas untuk negeri Sabah dan Sarawak.
Jika janji itu dilaksanakan, ia akan membezakan Bersatu daripada parti lain, katanya.