Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Veteran Umno kecam MB T'ganu tak sertai TPM lawat mangsa banjir
Diterbitkan:  Dec 1, 2024 2:49 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Seorang veteran Umno mengecam Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar kerana tidak menyertai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam untuk memantau keadaan banjir di negeri itu.

Setiausaha Kelab Veteran Umno Mustapha Yaakub dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan Samsuri untuk menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Selangor sebagai tanda tidak hormat.

"Shamsuri tidak dapat membezakan antara lawatan kerja timbalan perdana menteri dengan majlis jemputan parti politik untuk meraikan PAT.

"Dia lebih mementingkan rakan politiknya dari rakyat yang ditimpa petaka banjir," katanya.

Mustapha berhujah, Zahid tidak perlu disambut sebagai tetamu dan dijamu dengan nasi dagang semasa lawatannya, namun, katanya, presiden Umno itu tetap layak ditemui menteri besar negeri itu, walaupun dari parti berbeza.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Dia berkata Zahid yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah terpaksa menyusun semula jadual untuk ke Terengganu selepas melawat Kelantan semalam.

“Zahid mengutamakan rakyat Terengganu demi rakyat tapi Shamsuri mengutamakan parti rakan demi kuasa,” dakwa Mustapha.

Zahid, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, diiringi Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud dalam lawatannya ke negeri itu.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di 284 pusat pemindahan sementara mencecah 96,743 orang daripada 29,928 keluarga, meningkat daripada 93,158 malam tadi.

Berdasarkan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas terus melaporkan jumlah mangsa pemindahan tertinggi iaitu 29,370, diikuti Tumpat (17,680), Kota Bharu (14,154), Pasir Puteh (9,870), dan Kuala Krai (6,614).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 43,281 orang pagi ini, berbanding 41,409 orang malam tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS