Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi enggan mencampuri cadangan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan sebuah badan seperti Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk memayungi NGO Melayu-bumiputera.
Malah, timbalan perdana menteri itu berkata dia juga tidak akan ambil tahu tentang mana-mana pemimpin yang “gila talak.”
“Saya tidak mahu campur tentang mana-mana pemimpin yang gila talak,” katanya ringkas kepada pemberita dalam sidang media Konvensyen BN Selangor di Shah Alam, hari ini.
Istilah “gila talak” sering digunakan merujuk kepada seseorang yang teringat-ingat akan bekas isteri atau suami setelah bercerai.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas diminta mengulas cadangan Muhyiddin.
Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) semalam mencadangkan penubuhan sebuah badan yang memayungi NGO Melayu-Bumiputera seperti Dong Zong yang ditubuhkan untuk memperjuangkan hak masyarakat Cina.
Muhyiddin berkata badan berkenaan akan memastikan struktur kepimpinan yang lebih jelas dalam usaha memperjuangkan kepentingan kaum Melayu dan bumiputera di negara ini.
Tak perlu isytihar darurat
Sementara itu mengulas keperluan mengisytiharkan darurat bencana ekoran situasi banjir yang kian memburuk ketika ini, Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara menegaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, Zahid berkata kerjasama yang erat antara jentera penyelamat kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah dimobilisasikan sepenuhnya.
Zahid berkata dia juga berharap situasi semasa banjir di seluruh negara ketika ini, khususnya Kelantan dan Terengganu yang membimbangkan akan berkurangan seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
“(Harapan) apa yang diramalkan oleh MetMalaysia bahawa luruan hujan akan berkurangan pada minggu hadapan akan jadi satu kenyataan.
“(Luruan hujan) menyebabkan akan berlaku pengurangan air banjir di daratan.
“Namun kita yakin apabila luruan hujan itu berkurangan ia akan mengurangkan pemindahan di PPS,” katanya.
Pada masa sama Zahid berkata, kesiapsiagaan sahaja tidak mencukupi jika kawasan yang dijangkakan mengalami banjir di kawasan rendah.
“Walaupun kita mempunyai kekuatan dan anggota di seluruh negara yang dimobilisasikan seramai lebih 82,000 orang dan PPS ini boleh disiapsiagakan dan memuatkan 2.1 juta mangsa banjir.
“Justeru itu, (mangsa banjir) hendaklah mengikut nasihat yang diberikan oleh jawatankuasa bencana daerah dan jawatankuasa bencana negeri untuk berpindah awal.
“Kita tidak mahu jumlah kematian bertambah maka kesiapsiagaan dan juga amaran awal itu mesti diikuti sepenuhnya agar kita (dapat) elak kehilangan nyawa,” katanya.
“Saya sempat ke Kelantan dan Terengganu...saya melihat wakil-wakil rakyat daripada pelbagai parti yang berbeza juga turut bersama jentera yang ada untuk membantu,” katanya.