Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR tangguh kongres akibat banjir
Diterbitkan:  Nov 30, 2024 5:31 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Disebabkan banjir yang sedang melanda, PKR memutuskan untuk menangguhkan kongres tahunan parti namun tidak menyebut bila ia akan diadakan.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil memaklumkan pimpinan parti turut mengarahkan ahli-ahli bahagian untuk membantu mangsa banjir, termasuk menjalankan kerja-kerja pembersihan selepas banjir.

"Menyedari bahawa isu banjir dijangka berterusan, pimpinan telah memutuskan bahawa Kongres Nasional PKR 2024 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumum kemudian.

"Pada masa yang sama, satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan diadakan secara hibrid pada tarikh yang akan diumum oleh Setiausaha Agung PKR nanti,” tambahnya.

Sementara itu, Fahmi berkata pimpinan parti turut menggesa kerajaan melaksanakan kempen anti-buli secara menyeluruh berikutan peningkatan kes buli di institusi pengajian tinggi.

"PKR mencadangkan agar beberapa perkara dasar diteliti segera, termasuk kempen kesedaran buli dilaksana secara menyeluruh," katanya.

Fahmi tidak menyebut tindakan yang diambil terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, yang sebelum ini dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR kerana didakwa mencemarkan imej parti.

Pada 21 November, Hassan mengesahkan dia telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR berhubung kenyataannya mengenai keputusan Putrajaya melantik U Mobile, syarikat yang berkaitan dengan kerabat diraja, sebagai pengendali kedua rangkaian 5G Malaysia.

Sumber mendakwa Hassan dituduh mencemarkan imej parti ketika membuat kenyataan tersebut.

Ahli parlimen itu juga didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menyokong kumpulan kapitalis kroni.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS