Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes bunuh pelajar vokasional: Ada kesan calar, lebam di badan mangsa - rakan
Diterbitkan:  Nov 29, 2024 8:29 PM
Dikemaskini: 12:29 PM

Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau melihat kesan calar dan lebam pada belakang badan rakannya yang ditemukan mati pada 22 Mac lepas.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata beliau melihat kecederaan pada badan Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, semasa mangsa masuk ke bilik asrama 7 Resak pada 10.30 malam 21 Mac.

Pelajar tersebut berkata kecederaan di bahagian atas kanan serta tengah dan belakang badan rakannya itu jelas kelihatan kerana mangsa tidak berbaju.

"Saya nampak lebam, saya nampak bergaris, (warna) merah-merah," katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri pada perbicaraan kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Saksi itu juga berkata pada malam kejadian, beliau melihat muka Mohamad Nazmie Aizzat bengkak manakala badannya dalam keadaan lemah serta tidak bercakap dan hanya berbaring di atas katil sambil bermain telefon bimbit.

"Pada 11 malam, saya tidur kemudian terbangun pada 3 pagi dan menyedari Mohamad Nazmie Aizzat tidak berada di katilnya," kata remaja itu.

Saksi pendakwaan ke-10, yang juga pelajar kolej sama, pula berkata terdapat seorang pelajar lelaki cuba menghalang tertuduh pertama, ketiga, keempat dan kelima daripada terus memukul mangsa.

“Kejadian pukul dianggarkan berlaku kira-kira 20 minit,” katanya ketika disoal oleh Batrisyia.

Selain Batrisyia, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dan Ng Juhn Tao.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye; manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan bersambung Isnin depan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS