Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 1MDB: Najib fail kenyataan saksi setebal 525 muka surat

Bekas perdana menteri Najib Razak telah memfailkan kenyataan saksinya setebal 525 muka surat bagi peringkat pembelaan dalam perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan pasukan peguambela Najib dari firma guaman Shafee & Co telah menyerahkan salinan kenyataan saksi tersebut melalui emel kepada pihak pendakwaan.

"Pihak pendakwaan menerima kenyataan saksi Najib melalui emel sekitar jam 5.48 petang.

"Ia terdiri daripada dua jilid dengan jumlah keseluruhan 525 muka surat," kata pendakwa raya kepada Malaysiakini.

Najib dijadualkan memberi keterangan di kandang saksi pada Isnin minggu depan untuk menyangkal keputusan prima facie yang dibuat terhadapnya.

Pada 30 Oktober lalu, mahkamah memerintahkan Najib untuk membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan terbabit.

Kes itu didengar Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan hakim di Mahkamah Rayuan.

Menurut Sequerah keterangan lisan saksi pendakwaan menunjukkan hubungan dekat di antara Najib dan Jho Low dalam urusan berkaitan 1MDB.

Katanya saksi - seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam Jasmine Loo, dan bekas pegawai khas Najib, Ahmari Efendi Nazaruddin - menunjukkan mereka berinteraksi dengan Jho Low.

Merujuk kepada pembabitan Najib dengan Jho Low, hakim itu berpendapat, keterangan saksi mengenainya adalah konsisten, dan bukannya berlaku secara kebetulan.

“Tiada motif untuk saksi-saksi ini memerangkap tertuduh yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan," katanya.

Hakim itu juga berpendapat Najib berada di kedudukan tertinggi untuk membuat sebarang keputusan mengenai 1MDB.

"(Ia seakan) membunuh diri bagi saksi-saksi ini untuk menjebaknya (Najib) berdasarkan kedudukannya pada masa itu," kata Sequerah.

Hakim menegaskan apabila skandal 1MDB terdedah pada 2015, Najib tidak membuat sebaranng laporan polis berhubung perkara itu, termasuk berhubung dakwaan penglibatan Jho Low dalam kes tersebut.

Turut menarik perhatian hakim ialah tindakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu membubarkan pasukan bertindak khas membabitkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara yang menyiasat hal ehwal 1MDB.

Katanya, Najib juga mengetepikan Abdul Gani Patail dan Abu Kassim Mohamed daripada jawatan mereka, masing-masing selaku Peguam Negara dan Pesuruhjaya SPRM.

Sequerah juga menyentuh bagaimana menteri kewangan kedua ketika itu Ahmad Husni Hanadzlah diketepikan apabila dia membangkitkan kebimbangan mengenai usaha sama yang dimeterai 1MDB.

Najib kini menjalani hukuman penjara selama enam tahun sejak lewat 2022 berhubung kes rasuah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS