Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP gesa tangguh jururawat kerja 45 jam seminggu
Diterbitkan:  Nov 29, 2024 5:28 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan pelaksanaan dasar kerja 45 jam seminggu bagi kakitangan hospital kerana bimbang ia akan meningkatkan beban kerja dan memberi kesan kepada kesejahteraan mereka.

Dasar baru ini dijadualkan bermula pada 1 Disember depan.

Ketika perbahasan peringkat jawatankuasa belanjawan KKM pada Selasa, Suhaizan berkata tambahan tiga jam kerja seminggu akan memburukkan lagi tekanan yang sedia dihadapi kakitangan hospital, terutama jururawat.

"Berdasarkan maklumat kakitangan hospital khususnya para jururawat bahawa mereka telah cukup tertekan dengan jadual semasa.

"Tambahan tiga jam akan lebih membebankan mereka," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Suhaizan yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Kesihatan berkata kesejahteraan pekerja hospital perlu menjadi keutamaan kementerian.

Minggu lalu, Senator Dr RA Lingeshwaran berkata lebih 77,000 jururawat akan terkesan dengan arahan ini, yang memerlukan mereka bekerja 45 jam seminggu, berbanding 42 jam sebelum ini.

Tegasnya, langkah ini bukan sahaja menjejaskan sektor kesihatan tetapi juga sektor kritikal lain seperti perkhidmatan kecemasan dan keselamatan.

Sebagai perbandingan, katanya pekerja pejabat kerajaan hanya dijangka bekerja selama 38 jam seminggu.

Sementara itu Suhaizan turut membangkitkan aduan daripada ramai petugas kesihatan mengenai tekanan di tempat kerja, dengan sesetengahnya melaporkan kemalangan semasa perjalanan balik dari tempat kerja akibat keletihan.

"Tiada jaminan mereka boleh berehat sebab persekitaran kerja di hospital dengan kekangan kekurangan staf selama ini mereka tiada masa khusus untuk berehat,” jelas Suhaizan.

Dia berkata kerja tambahan tiga jam seminggu itu bersamaan dengan 12 jam tambahan selama sebulan— lebih dari satu hari kerja tambahan.

Keadaan ini, katanya, akan mengurangkan masa berharga kakitangan hospital bersama keluarga mereka.

“Menteri kesihatan telah memberi maklumbalas di Parliman akan mengkaji semula peraturan baru (ini).

"Maka saya mencadangkan Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan baru untuk menanguhkan peraturan baru bekerja 45 jam seminggu yang telah di rangka untuk melaksanakannya pada 1/12/2024,” katanya lagi.

Suhaizan juga menyeru Kementerian Kesihatan memberi tumpuan kepada mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong untuk menangani masalah keletihan dalam kalangan pekerja kesihatan, dengan anggaran 60 peratus kakitangan kini mengalami kepenatan akibat kerja.

“Moga dengan pekelilng terbaharu ini akan memberi sedikit kelegaan kepada semua kakitangan hospital,” katanya.

Suhaizan berkata kesejahteraan pekerja kesihatan perlu menjadi keutamaan kementerian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS