Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suaram mahu kementerian khas jaga hak asasi manusia

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mencadangkan kerajaan mewujudkan kementerian khusus bagi menjaga soal hak asasi manusia di Malaysia.

Berucap ketika pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia 2024, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata kementerian itu perlu dipastikan bebas dan memiliki autoriti.

“Kuasa yang diberikan kepada kementerian itu tidak sepatutnya hanya di atas kertas. Ia perlu mempunyai kuasa untuk memastikan kementerian lain dan kerajaan agar keadaan hak asasi manusia di Malaysia bertambah baik,” katanya.

Sevan menegaskan perlunya satu mekanisme yang jelas dan berkesan untuk memperkasakan kementerian tersebut, bagi membolehkannya bertindak secara tegas dan membawa perubahan secara sistemik.

“Sekarang, ada beberapa perkembangan (hak asasi manusia) dalam kementerian (sedia ada). Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat atau Kementerian Sumber Manusia dalam isu berkaitan pekerja migran.

“Tetapi (pada tahap tertentu), ia perlu berbalik kepada Kementerian Dalam Negeri. Di situlah halangannya... Kita tidak mahu itu berlaku,” katanya.

Penurunan kes

Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia 2024 oleh Suaram antaranya menyatakan ada sedikit penurunan dalam kes-kes di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Ketika membentangkannya, Penyelaras Dokumentasi dan Pemantauan Suaram Jernell Tan menyorot pengurangan sebanyak empat kes bawah Akta Hasutan antara tahun 2023 dan 2024.

“Pada 2024, terdapat 23 kes di bawah Akta Hasutan. Daripada jumlah ini, 12 disiasat, lima membawa kepada tangkapan, lima lagi menyebabkan pertuduhan, dan seorang individu dijatuhkan hukuman.

“Sebagai perbandingan, pada 2023 terdapat 27 kes, dengan 11 individu disiasat, 13 ditangkap, dan tiga didakwa. Tiada hukuman direkodkan di bawah akta tersebut pada tahun itu,” katanya.

Kes di bawah Seksyen 233 CMA juga mencatatkan penurunan kecil, dengan 94 kes direkodkan pada 2024 berbanding 97 pada tahun sebelemnya.

“Daripada 94 kes pada 2024, 63 disiasat, 17 membawa kepada tangkapan, tiga pendakwaan dibuat, dan sepuluh individu dijatuhkan hukuman,” katanya lagi.

Trend dalam salah laku dan penguatkuasaan

Walaupun penurunan bilangan kes nampak menjanjikan, laporan tersebut mengingatkan agar ia tidak dilihat sebagai penambahbaikan ketara berikutan apa yang disifatkan sebagai penyalahgunaan undang-undang tersebut yang masih berlaku.

Laporan itu mendapati perubahan fokus dalam kes Akta Hasutan, dengan kandungan berkaitan institusi diraja mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes, diikuti oleh lapan kes berkaitan kerajaan dan empat kes berkaitan agama.

Tiada siasatan berkaitan kaum di bawah Akta Hasutan dilaporkan pada 2024.

Bagi Seksyen 233 CMA, kes melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) meningkat, merangkumi 65.6 peratus kes pada 2024, berbanding 46.4 peratus pada 2023.

Pengkritik, wartawan jadi sasaran

Laporan itu turut membagkitkan penggunaan berterusan Akta Hasutan dan peruntukan CMA terhadap wartawan, aktivis dan pihak yang menyuarakan kritikan.

Satu contoh ialah siasatan terhadap pengasas Borneo Komrad, Mukmin Nantang di bawah Akta Hasutan kerana mendedahkan pengusiran komuniti Bajau Laut di Semporna oleh pihak berkuasa Sabah.

Selain itu, tiga wartawan Malaysiakini sebelum ini dipanggil polis kerana melaporkan kemungkinan rombakan kepimpinan dalam Bukit Aman, dengan peringatan tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang menyebarkan maklumat tidak sah di media sosial.

“Tindakan terkebelakang ini menunjukkan polis melihat institusi itu sebagai ‘melangkaui kritikan’, sekaligus meremehkan peranan wartawan dalam mengangkat ketelusan dan kebertanggungjawab. 

“Tindakan sedemikian mencetuskan kesan menakutkan terhadap kebebasan media,” menurut laporan itu.

Di akhir pelancaran, Sevan menyeru kerajaan agar memansuhkan Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Dia juga mengingatkan kerajaan berkenaan pendirian mereka semasa menjadi pembangkang.

“Ramai anggota pentadbiran dan Parlimen sekarang dulu bersama-sama kami, menyokong pemansuhan Akta Hasutan. Mereka di belakang gesaan ini, namun sekarang mereka mewajarkan penggunaannya, mendakwa ia terhad kepada isu 3R.

“Ingat, jika anda hilang kuasa, kerajaan seterusnya boleh menggunakan Akta Hasutan ke atas anda. Ini peluang terbaik untuk anda memansuhkannya,” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS