Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sejujurnya saya tidak menyangka reaksi spontan saya terhadap kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai jawapan beliau terhadap penarafan “D” yang diberikan oleh Bersih kepada kerajaan Madani menarik minat ramai orang untuk memberikan respons balas dan juga kritikan ke atas reaksi tersebut.

Salah seorang insan yang memberikan respons tersebut adalah seorang profesor madya di Universiti Utara Malaysia (UUM) di mana artikel beliau telah diterbitkan di Malaysiakini.

Jujurnya saya tidak sedar pun kewujudan artikel prof madya tersebut sekiranya seseorang tidak mengantarnya kepada saya melalui WhatsApp. Yang lucunya pihak yang mengirim mesej tersebut turut menasihati saya agar tidak menjawab kritikan prof madya tersebut. Maaf saya tidak mampu mengikuti nasihat anda.

Bagaimanapun saya juga tidak bercadang untuk menjawab satu persatu kritikan prof madya tersebut. Apapun, terima kasih saya ucapkan kepada prof madya tersebut kerana sudi melapangkan waktu dia untuk menjawab reaksi “jebon” seperti saya.

Awalnya saya mengelak untuk membaca segala tulisan yang mengkritik saya sebab saya agak sibuk mengurus beberapa perkara penting. Lagipun, saya juga tidak ada masalah menghadapi segala tulisan atau kenyataan yang mengkritik saya. Saya sentiasa, dengan izin Allah, menghormati kebebasan bersuara.

Namun untuk menjawab tulisan prof madya tersebut saya harus membaca kritikan beliau. Sebagai peguam dan ahli politik saya akui saya amat suka untuk berdebat dengan sesiapa pun. Ia ada dalam DNA saya.

Walaupun mungkin agak sukar untuk saya meniru teladan Imam Syafie (moga Allah merahmati arwah) dalam etika perdebatan dimana “imam lebih rela orang yang berdebat dengan beliau itu berada di pihak yang benar dan beliau sendiri berada di pihak yang salah” namun pada kali ini saya harap menerusi tulisan balas ini ia ditulis mengikut semangat dan roh kata-kata Imam Syafie tersebut .

Saya tidak bercadang untuk menjawab satu persatu tulisan prof madya tersebut. Sebaliknya saya akan cuba jawab beberapa isu yang ditimbulkan sahaja. Ada empat isu sahaja yang saya ingin jawab.

Gabungan pelbagai ideologi

Isu pertama - saya dikatakan mengabaikan fakta bahawa kerajaan pimpinan Anwar adalah kerajaan gabungan yang terdiri daripada gabungan politik dengan ideologi yang berbeza, seperti Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jawapan saya: Biarlah saya berterus terang. Saya faham sangat fakta tersebut. Hakikatnya semasa kerajaan PH dibentuk dan diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), kerajaan PH juga hakikatnya menghadapi masalah yang hampir sama -gabungan pelbagai parti yang mempunyai ideologi politik yang rencam dan berbeza. Cuma kami amat bersyukur sangat- sangat kerana tidak ada Umno/BN di dalam kerajaan itu. Jujurnya kami tidak rasa Umno/BN mempunyai keinginan yang kental untuk melakukan perubahan apalagi reformasi.

Lagipun kerajaan PH pada masa itu sedang berusaha untuk membaik pulih kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno/BN yang memerintah dalam tempoh yang agak lama.

Namun kekuatan kerajaan PH pada ketika itu adalah mereka bersepakat dalam perkara yang mereka sewajarnya perlu bersepakat. Mereka tidak berbeza pendapat misalnya penjenayah rasuah dan salah guna kuasa misalnya dalam kes 1MDB wajar diambil tindakan.

Meskipun kerajaan PH masih tidak mampu pada masa itu meminda Akta Hasutan 1948 misalnya, seingat saya tidak ada sesiapa pun yang didakwa di bawah akta tersebut. Mungkin prof boleh baca di akhbar berapa orang yang telah didakwa di bawah Akta Hasutan di era kerajaan Madani? Bukan sahaja akta itu dikekalkan malahan pendakwaan di bawah akta tersebut juga diteruskan.

Kerajaan PH juga menunaikan janji menghapuskan akta berita tidak benar. Saya sendiri yang dipertanggung jawab untuk membentang pembatalan akta tersebut di Parlimen di mana Umno kuat menentangnya sama ada di dewan rakyat atau di dewan negara.

Banyak lagi contoh lain tapi saya tidak mahu tulisan ini akan menjadi lebih panjang. Apapun semua itu dilakukan tanpa kerajaan PH khususnya Tun M melaungkan slogan reformasi.

Kerajaan Madani kini ingin mengawal penerbitan di ruang siber melalui kaedah wajib mendaftar. Ya, benar di zaman Kerajaan PH, kami tidak sempat meminda Aka Hasutan dan Sosma kerana digulingkan melalui Langkah Sheraton yang Umno/BN dan PN terlibat.

Kritikan terhadap Zahid

Isu kedua - saya dikatakan tidak habis-habis mengkritik pelantikan Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan tuduhan mahkamah sebagai timbalan perdana menteri.

Jawapan saya: Saya ingin bertanya adakah saya seorang sahaja membangkitkan isu Zahid tersebut? Ya, Zahid didakwa atas 47 pertuduhan jenayah di era kerajaan PH dan mahkamah mendapati ada kes prima facie ke atas Zahid namun Zahid berjaya menikmati perintah DNAA meskipun proses membela diri telah berjalan di mahkamah.

Kenapa saya tidak habis-habis mengkritik pelantikan Zahid yang berdepan tuduhan mahkamah sebagai timbalan perdana menteri? Jawabnya mudah prof.

Bagaimanakah kerajaan Madani dan perdana menteri boleh meyakinkan rakyat dan para pelabur khususnya bahawa ia serius memerangi rasuah sedangkan di dalam kabinet beliau wujud seorang yang telah dipanggil membela diri atas pertuduhan jenayah antaranya tuduhan jenayah rasuah dan salah guna kuasa dilantik sebagai timbalan perdana menteri? Dan ini berlaku di zaman kerajaan Madani.

Dalam undang-undang, tindakan perdana menteri dan kerajaan Madani tersebut boleh dianggap “non sequitur”.

Prof madya itu juga berhujah “Dia (Hanipa) seolah-olah lupa yang pelantikan (Zahid) tersebut hasil daripada realiti politik semasa, di mana kerjasama dengan BN diperlukan untuk membentuk kerajaan perpaduan. Tanpa sokongan Zahid, kerajaan perpaduan tidak akan wujud.”

Hujah ini, pada saya, bukan sahaja lemah malahan berisiko. Ada unsur pengakuan. Apabila prof tersebut berhujah “pelantikan (Zahid) tersebut hasil daripada realiti politik semasa...” ia bermakna demi kuasa perdana menteri seolah-olah sanggup berkompromi dalam memerangi rasuah dan amalan salah guna kuasa. Dan kenyataan itu juga boleh bermaksud “demi kuasa, reformasi diremehkan dan perdana menteri sanggup tunduk kepada Umno/BN?”. Dan bagaimana pula dengan Amanah dan DAP?

Dikatakan juga “tanpa sokongan Zahid, kerajaan perpaduan tidak akan wujud.” Sekali lagi hujah ini juga mengandungi elemen pengakuan. Saya ingin tanya adakah prof ingin katakan perdana menteri mengakui Zahid dan Umno adalah “the kingmaker”?

Dengan “pengakuan tersebut di atas” adakah perdana menteri ingin dituduh memeluk erat doktrin Machiavellian -” matlamat menghalalkan cara” sedangkan kerajaan ini dilihat cuba menonjolkan ia “mesra ulama”.

Dan akhirnya bagaimana rakyat boleh percaya selepas ini segala agenda reformasi perdana menteri tidak akan “disailang” atau disabotaj oleh Umno/BN?

Perkukuh institusi semak imbang

Isu ketiga - tidak banyak langkah sistematik yang diambil untuk memperkukuh institusi seperti SPRM dan Jabatan Audit Negara (JAN).

Jawapan saya: Katakanlah - untuk tujuan perdebatan- tuduhan ini benar mungkin prof perlu jawab adakah kerajaan Madani memperkukuh institusi seperti SPRM sedangkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik semula pada pada 12 Mei 2024 untuk tempoh setahun selepas dilanjutkan tempoh lanjutan setahun sebelum itu ( 2023 ) meskipun telah terdedah beliau didakwa memiliki “millions of shares in two publicly-listed companies” semasa beliau menerajui Jabatan Siasatan SPRM. Reformasi?

Mengenai Jabatan Audit Negara (JAN) adakah prof ini sedar bahawa di era kerajaan PH Laporan Ketua Audit mengenai 1MDB tidak lagi diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi seperti yang dilakukan oleh kerajaan Umno/BN .

Isu keempat - Dari sudut reformasi institusi, walaupun Mahathir menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), tetapi cadangannya termasuk pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya tidak dilaksanakan.

Jawapan: Adakah prof memahami Perlembagaan Persekutuan bahawa pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya tidak boleh dilaksanakan tanpa suara 2⁄3 di Parlimen? Ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pindaan yang berkaitan memerlukan sokongan 2⁄3 suara di Parlimen dan kerajaan PH pada masa itu tidak ada suara 2⁄3 di Parlimen

Ya, kerajaan PH di bawah Tun M tidak ada suara 2⁄3 sedangkan Kerajaan Madani ada suara 2⁄3 di Parlimen. Logiknya siapa yang wajar dan lebih mudah untuk melaksanakan pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya?

Pembaharuan oleh Mahathir

Isu kelima - Apa reformasi besar Mahathir?

Jawapan saya: Saya ingin kongsi di sini ucapan Tun M selepas tempoh 100 hari PH memerintah.

Di sini saya menegaskan bahawa kami akan mengikut kedaulatan undang-undang yang ditetapkan. Ini juga satu kejayaan kerana sebelum ini tiada kedaulatan undang-undang yang diguna pakai sehingga ada individu yang tidak bersalah berdepan dengan tuduhan yang tertentu, tetapi kini, setiap tuduhan yang dikenakan akan melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Selain itu, ada berbagai perkara lagi yang telah kami lakukan.

Kami telah berjaya untuk berunding semula mengenai wang yang dipinjam untuk projek ECRL dan kami telah berjaya untuk menjimatkan sebanyak RM21 billion. Ini perkara yang orang lain tidak boleh lakukan.

Kami juga berjaya untuk menyelesaikan masalah mengenai Bandar Malaysia. Ini semua adalah kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan pada hari ini.

Sudah tentu kami tidak memberitahu ini berulang kali kepada rakyat tetapi inilah pencapaian kita.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan tidak pernah meminjam untuk membyar gaji penjawat awam, tidak seperti kerajaan negeri Kelantan. Ini terbukti apabila penarafan kredit berdaulat Malaysia kekal tinggi pada paras A3 atau A dengan unjuran stabil. Sekiranya Kerajaan Persekutuan terpaksa meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, ia akan menjurus kepada penurunan penarafan kredit.

Kita bermula dengan menghapuskan GST. Tetapi untuk membawa balik Sales and Service Tax memerlukan kelulusan oleh Parlimen. Proses mendiri Kerajaan dan persidangan Parlimen mengambil masa. Sementara SST menunggu kelulusan Parlimen, maka cukai SST tidak dapat dikutip. Dengan itu harga kereta dan lain-lain menurun dan rakyat menikmati keadaan jual murah.

Walaupun demikian proses dimulai untuk menunaikan janji-janji yang lain. Harga petrol biasa dikekalkan melainkan RON97 yang kurang diguna. Skim KWSP untuk suri rumah bermula pada 15 Ogos 2018. Kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing telah dimulakan.

Pelaksanaan projek kereta api laju High Speed Rail (MyHSR) telah ditangguhkan pada 30 Mei 2018. Pelaksanaan Mass Rapid Transit (MRT) Fasa 3 dibatalkan pada 30 Mei 2018; Projek kereta api East Coast Rail Link (ECRL) telah ditangguhkan pelaksanaannya pada 3 Jun 2018; Projek Multi Product Pipeline (MPP) dan Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) telah ditangguhkan pada 5 Julai 2018.

Menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum beransur-ansur dalam masa 5 tahun telah bermula. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.

Memorandum Jemaah Menteri berkaitan perkara ini sedang disediakan. Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji tidak dilaksana kerana siasatan pelbagai agensi sedang dijalankan dan mahkamah akan tentukan keputusan kes.

Siasatan ke atas 1MDB oleh Pasukan Khas telah dimulakan sejak 21 Mei 2018; - Siasatan ke atas Felda, Mara dan Tabung Haji juga telah dimulakan; - Kepimpinan 1MBD telah dirombak sejak 28 Jun 2018; dan - Kepimpinan Felda dan Tabung Haji telah dirombak sejak 14 Mei 2018.

Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 telah dipersetujui dan akan dibentuk.Berkaitan pinjaman PTPTN pemansuhan senarai hitam telah bermula pada 24 Mei 2018 hingga 8 Jun 2018 melibatkan seramai 429,945 peminjam.

Selain itu, jumlah pelajar cemerlang yang diberi diskaun atau lupus hutang sehingga 31 Mei 2018 ialah seramai 51,272 peminjam melibatkan amaun sebanyak RM1.56 bilion.

Sebelum prof lupa antara janji kerajaan PH yang sepatutnya Anwar perlu berterima kasih adalah mengusahakan pembebasannya melalui pengampunan. Bagi kami tidak seperti Najib, Anwar, untuk berlaku adil, tidak merosakkan ekonomi negara melalui badan seperti 1MDB.

Kerajaan PH sudah tentu tidak rela penjenayah besar seperti Najib dibebaskan melalui apa cara pun. Dan saya yakin itu juga kehendak majoriti rakyat, Amanah dan DAP.



MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah mantan timbalan menteri undang-undang. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS