Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kekebalan hanya gimik jika pemberi maklumat mengaku terlibat jenayah’
Diterbitkan:  Nov 23, 2024 3:33 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer menyifatkan perlindungan untuk pemberi maklumat di Malaysia adalahi satu “gimik” kerana mereka yang membuat pendedahan berkenaan jenayah masih boleh disiasat jika didapati turut terlibat.

“Pada pandangan saya, jaminan kekebalan daripada pendakwaan yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat hanyalah satu gimik.

“Pemberi maklumat yang didapati terlibat dalam jenayah yang sedang disiasat boleh kehilangan perlindungan yang ditawarkan di bawah akta itu,” tulisnya di portal Free Malaysia Today.

“Namun peguam negara ada hak mutlak untuk merekodkan nolle prosequi (keengganan untuk meneruskan kes) terhadap pemberi maklumat yang telah didakwa, atau tidak mendakwanya langsung, selepas menilai manfaat maklumat (yang didedahkannya) kepada masyarakat,” katanya.

Hamid tidak merujuk mana-mana kes secara khusus namun tulisannya itu di tengah skandal rasuah di Sabah yang dibongkar oleh seorang pemberi maklumat.

Pemberi maklumat itu adalah seorang ahli perniagaan yang kemudiannya mengakui sebagai individu yang memberikan rasuah kepada ahli politik yang terlibat.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor turut dikaitkan dalam skandal tersebut.

Menurut Hamid, dalam kes yang melibatkan pemberi maklumat yang mengaku melakukan jenayah, peguam negara boleh menimbang untuk mendakwa individu itu berdasarkan pengakuan yang dibuat itu, tetapi pada masa sama menangguhkan semua prosiding sehingga semua pesalah lain berjaya disabitkan.

“Ini akan memastikan pemberi maklumat tidak mengubah kenyataannya semasa perbicaraan tertuduh lain.

“Setelah sabitan berjaya terhadap pesalah, peguam negara boleh memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada pemberi maklumat tersebut,” katanya lagi.

Tugas peguam negara

Hamid turut memberikan pandangan mengenai bagaimana peguam negara perlu menjalankan tugas dan kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam membuat keputusan untuk mendakwa seseorang yang disyaki melakukan kesalahan.

“Ini tentunya termasuk pemberi maklumat yang mungkin telah terlibat dalam jenayah yang didedahkannya.

“Tetapi peguam negara tidak boleh bertindak secara menindas terhadap mana-mana individu kerana ini boleh menjejaskan keabsahan kuasa kerajaan, terutama apabila tindakan itu melibatkan ahli politik yang mungkin dihormati oleh negeri atau segmen tertentu masyarakat.

“Oleh itu peguam negara, sama ada sebagai konvensyen mahupun mengikut kedaulatan undang-undang, mesti menggunakan kuasa pendakwaannya secara adil dan saksama,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Hamid berkata walaupun peguam negara tidak bertanggungjawab kepada mahkamah berhubung keengganan mendakwa mana-mana individu atau menghentikan proses jenayah yang sedang berjalan, mangsa boleh membuat aduan di mahkamah terhadap sebarang penyalahgunaan kuasa.

Dalam kes seumpama itu, katanya lagi, mahkamah adai kuasa perlembagaan dan kehakiman untuk memberikan remedi yang sesuai, termasuk memerintahkan pampasan kewangan dibayar kepada kerajaan.

“Peguam negara juga bertanggungjawab kepada Raja-Raja kerana dia dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya.

Dia berkata dalam konteks Malaysia, kuasa mutlak yang diberikan kepada peguam negara tidak boleh dikurangkan oleh mana-mana undang-undang biasa, termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang memberikan budi bicara kepada badan yang membuat siasatan sama ada untuk mendakwa pemberi maklumat atau tidak.

Dia turut menyifatkan akta tersebut sebagai “panduan prosedur” yang boleh dirujuk oleh peguam negara ketika membuat keputusan, sama ada mahu mendakwa pemberi maklumat.

Terdahulu, SPRM mengesahkan menerima aduan berkaitan seorang ahli perniagaan yang disyaki terlibat dalam skandal rasuah berhubung projek perlombongan mineral di negeri itu.

Pemberi maklumat itu pula telah menyatakan kesediaannya untuk memberikan semua bukti yang dimilikinya kepada SPRM dengan syarat dia diberi perlindungan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS