Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan berhenti berharap, kata Yana Najib
Diterbitkan:  Oct 30, 2024 3:17 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Anak Najib Razak menzahirkan rasa tenang dan tabah selepas bekas perdana menteri itu perlu berdepan dengan perjalanan panjang di mahkamah berhubung skandal 1MDB.

Menggunakan platform media sosial Nooryana Najwa Najib menghantar isyarat bahawa dia - dan keluarganya - akan tetap bersemangat.

Sejurus sebelum itu Najib yang menjadi perdana menteri kira-kira selama sembilan tahun diarah oleh mahkamah untuk membela diri atas 25 pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

“Jangan pernah putus harapan. Ribut menjadikan seseorang lebih kuat dan (ia) tidak akan kekal selama-lamanya,” tulis Nooryana.

Malam tadi, dia juga memuat naik gambar Najib yang kelihatan sedih. Ahli politik dari Pahang itu dipenjarakan sejak Ogos 2022 atas sabitan jenayah membabitkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.

Mengiringi hantaran tersebut ialah kapsyen "Kita akan melalui ini bersama-sama. Sentiasa bersamamu.”

Turut dimuat naik di Insta Stories ialah kata-kata: "Semoga dipermudahkan urusan ayahanda esok... hanya pada-Nya kita berdoa dan berserah."

Sementara itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi bukan bermakna Najib sudah bersalah.

Bagai tukang masak

Sebaliknya, kata timbalan perdana menteri itu, ia menjadi peluang kepada Najib membuktikan dia tidak bersalah.

"Mewakili Umno dan BN, juga sebagai seorang sahabat, kami yakin Dato’ Seri Najib berada di pihak yang benar.

"Kami akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan," katanya.

Tambah Ahmad Zahid, Umno juga berdoa agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan.

Ahmad Zahid Hamidi

Pun begitu bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata dia tidak dapat memahami mengapa Umno masih berharap mahkamah akan membebaskan Najib.

“Hakim seperti master chef. Mereka memasak apa sahaja barangan yang dipersembahkan kepada mereka.

"Hakim A tidak akan membuat penemuan berbeza daripada kesimpulan Hakim B mengenai fakta yang serupa.

"Hakim adalah tukang masak yang baik yang tidak akan bertanya sama ada telur gred A atau B diminta untuk dimasak.

“Pembelian itu semuanya dilakukan oleh SPRM, polis dan Peguam Negara,” katanya.

Zaid yang pernah mewakili Najib untuk suatu ketika berkata, dia tidak tahu bagaimana ahli Umno tidak dapat mengesan "kecacatan" dalam proses yang membawa kepada pemenjaraan Najib.

“Sistem yang meletakkan Anwar dalam penjara adalah sama yang meletakkan Najib dalam penjara. Tidak ada pembaharuan.

“Ahli Umno patut berfikir. Melakukan perkara mudah seperti berdoa memohon campur tangan Ilahi tidak mencukupi,” katanya lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS