Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Keputusan PRK Mahkota bergantung kadar keluar mengundi ikut etnik'
Diterbitkan:  Sep 27, 2024 5:50 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Mahkota esok sangat bergantung kepada kadar keluar mengundi mengikut etnik, menurut Ilham Centre.

Ketua penyelidik Profesor Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata BN mula berkempen di landasan yang selesa, tetapi menghadapi halangan di pertengahan jalan.

“Faktor utama apabila tidak mendapat jaminan undi selamat daripada segmen pengundi PH sedia ada, khususnya pengundi etnik Cina yang kurang berminat untuk keluar membuang undi.

“Dalam masa sama BN masih bergelut dalam segmen teras Umno sendiri iaitu undi orang Melayu," kata Yusri dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook hari ini.

PRK Mahkota diadakan berikutan kematian penyandang Umno, Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.

Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Haizan Jaafar.

Mengulas lanjut, Yusri berkata kadar keluar mengundi akan menjadi penentu utama dalam pemilihan esok.

“Walaupun mengalami ketidaktentuan, BN masih pilihan untuk keluar sebagai pemenang, dengan syarat BN perlu mendapat sekurang-kurangnya 40 peratus undi daripada pengundi Melayu yang keluar, dalam masa sama kadar keluar pengundi Cina tidak kurang daripada 35 peratus.

"Jika angka-angka ini tidak digapai oleh BN, PN yang pada awalnya turun sebagai underdog berpeluang untuk membuat kejutan merampas mimpi indah BN dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan mereka dalam segmen Melayu," kata Yusri.

"Namun jika BN berjaya menggapai angka-angka tersebut lebih besar berbanding angka ambang yang dinyatakan, mereka berpotensi menang dengan majoriti lebih besar," tambahnya.

Pada pilihan raya negeri Johor Mac 2022, Sharifah yang mewakili BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,166 undi.

Yusri berkata calon BN dan PN mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, dengan Syed Hussien mempunyai "sedikit" kelebihan.

“Secara umumnya calon BN lebih mudah menembusi kedua-dua kelompok terbesar pemilih Mahkota iaitu pengundi Melayu dan Cina.

"Latar belakang pendidikan, kerjaya, hieraki dalam parti dan keterlibatan dalam organisasi masyarakat memberi nilai tambah bermakna untuk beliau berinteraksi dengan kedua-dua kelompok tersebut dengan selesa.

"Kemahiran berbahasa Mandarin dan memahami budaya pergaulan orang Cina turut memberi kelebihan kepada beliau," kata Yusri.

Mohd Haizan pula, katanya, banyak mempertaruhkan penglibatannya dalam bola sepak untuk diiktiraf pengundi.

Walaupun kelihatan selesa di kalangan pengundi Melayu, calon PN menurutnya bergelut untuk menyesuaikan diri dengan demografi Cina.

Mohd Haizan juga kelihatan berpengaruh di kalangan pengundi tentera, yang membentuk 4,510 pengundi, kerana pernah mengendalikan kafeteria di dalam kem tentera di sana.

Dari segi jentera, BN mempunyai kelebihan berbanding PN, kata Yusri.

Yusri seterusnya menyatakan perbezaan dalam strategi kempen yang diguna pakai oleh BN dan PN, dengan BN memilih pendekatan "penglibatan langsung" dengan pengundi, berbanding ceramah, walkabout dan pendekatan podcast yang diambil oleh PN.

Menurutnya, PN sebahagian besarnya terlibat dengan pengundi Melayu dan menghadapi isu berinteraksi dengan pengundi Cina, dengan kehadiran Gerakan hampir tidak memberi kesan.

Dia berkata DAP dan MCA, yang merupakan komponen kerajaan perpaduan, telah berusaha dengan berkesan untuk menarik pengundi Cina dalam kempen Mahkota.

Yusri berkata kedua-dua pihak menghadapi isu dalam mengkategorikan pengundi "putih", berdasarkan demografi kawasan itu.

“Situasi ini banyak mempengaruhi corak kempen apabila majoriti pengundi dirawat dengan mesej hampir sama, tidak terfokus mengikut profil pengundi sasar.

"Perkembangan ini juga secara tidak langsung menunjukkan gelanggang Mahkota ini adalah terbuka, siapa sahaja mempunyai peluang untuk keluar sebagai pemenang jika mampu merawat sokongan dan memujuk pengundi," katanya.

Kata Yusri lagi, walaupun pengundi Cina selesa dengan calon BN kerana kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin, cabarannya ialah mengajak mereka keluar mengundi.

“Isu utama pengundi Cina adalah mereka tidak ghairah untuk keluar mengundi esok. Faktornya kerana PRK Mahkota ini tidak memberi sebarang implikasi perubahan kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan.

"Dalam masa sama pengundi Cina menunjukkan reaksi tidak selesa berkaitan serangan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap (Ahli Parlimen DAP) Teresa Kok berkaitan isu sijil halal.

"Walaupun DAP berusaha gigih memujuk mereka keluar, maklum balas mereka secara umumnya masih dingin," kata Yusri.

Pengundi India juga menurutnya bersikap acuh tak acuh dalam pilihan raya, dengan tidak menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti yang bertanding.

"Pelbagai isu diutarakan oleh pengundi India seperti rasa terabai oleh kerajaan, tiada perwakilan yang kuat dalam kerajaan yang menyebabkan suara mereka terbatas, serta isu-isu peluang pekerjaan dan kos sara hidup yang umum," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS