Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Erdogan kecam kehadiran Netanyahu di UNGA
Diterbitkan:  Sep 27, 2024 11:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

GLOBAL | Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengecam kehadiran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dengan menyifatkannya sebagai "memalukan", lapor Agensi Anadolu.

“Adalah sangat memalukan bahawa seorang penjenayah (Netanyahu), yang telah melakukan genosid di Palestin, boleh hadir di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Ini adalah satu pengkhianatan terhadap kematian bayi, kanak-kanak, ibu, bapa, pegawai PBB, wartawan, dan ramai lagi yang dibunuh secara kejam,” kata Erdogan kepada pemberita pada Rabu di Turkish House di New York.

Pejabat Perdana Menteri Israel yang dipetim media tempatan memaklumkan, Netanyahu berlepas ke New York pada awal Khamis dan dijangka berucap pada sesi ke-79 UNGA pada Jumaat.

“Sama ada UNGA akan melayan pembunuh (Netanyahu) seperti yang sepatutnya atau situasi memalukan ini akan tercatat dalam sejarah PBB sebagai satu titik hitam,” kata Erdogan.

Dia turut menyatakan bahawa PBB berada dalam keadaan yang tidak mampu melaksanakan misinya bagi menghalang peperangan, tidak dapat melindungi pegawai-pegawainya sendiri, dan gagal menuntut Israel bertanggungjawab atas pembunuhan.

Erdogan juga menekankan bahawa PBB kehilangan fungsinya dan kini menjadi struktur yang mempertahankan sistem yang menerima “kekuatan adalah segalanya.”

Sebar konflik ke serantau

Mengenai ucapannya di UNGA, Erdogan berkata dia berkongsi pandangan mengenai isu-isu penting bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan global.

“Bagi isu Gaza, saya sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa sistem dan institusi antarabangsa yang ada sekarang telah gagal melaksanakan tanggungjawab utama mereka.

"Saya menegaskan bahawa manusia boleh hidup dalam dunia yang lebih adil jika suara golongan tertindas didengar," katanya.

Erdogan turut mengadakan siri pertemuan dua hala dengan pemimpin dunia lain seperti Canselor Jerman, Presiden Ukraine, Perdana Menteri Greece, dan Setiausaha Agung PBB.

Dalam pertemuan itu, Erdogan berkata perbincangan tertumpu kepada isu kerjasama dua hala dan pelbagai krisis di rantau ini, dengan penekanan khusus kepada situasi kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza.

Menekankan keperluan untuk meningkatkan bantuan kepada Palestin sebelum musim sejuk, dia juga menggesa semua negara untuk memperhebatkan tekanan terhadap Israel.

“Israel menggunakan segala cara untuk menyebarkan api konflik di Gaza ke seluruh rantau, seperti yang telah kami ingatkan selama berbulan-bulan. Serangan ke atas Lubnan adalah contoh terbaru.

"Lebih 600 warga Lubnan dibunuh dalam tempoh seminggu yang lalu.

“Selagi dunia terus berdiam diri dan negara-negara Barat meneruskan sokongan ketenteraan kepada pentadbiran Israel, pembunuhan beramai-ramai ini akan berterusan. Kami menekankan bahaya ini dalam perbincangan kami,” katanya.

Israel menyerang Lubnan sejak pagi Isnin menyebabkan sekurang-kurangnya 677 orang terkorban dan mencederakan lebih 2,500 yang lain.

Kumpulan penentang Lubnan, Hizbullah, dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak bermulanya serangan Israel ke atas Gaza 7 Okt tahun lalu.

Presiden Turkiye itu turut menyatakan dia mengikuti proses pemindahan penduduk di selatan Lubnan.

“Ia benar-benar menyakitkan hati. Rantau kita sedang menghadapi keadaan yang sangat kejam dan dahsyat. Kita bercakap tentang Lubnan yang mempunyai populasi enam juta. Ke manakah rakyat ini akan melarikan diri?" soalnya.

Sekitar 13,500 warga Syria meninggalkan Lubnan sejak serangan udara Israel bermula pada hari Isnin, kata Menteri Dalam Negeri Lubnan pada Khamis.

Beberapa negara turut menggesa rakyat mereka meninggalkan Lubnan dan menasihatkan supaya tidak melancong ke negara itu sehingga notis lanjut dikeluarkan.

AS, EU, dan sembilan negara lain menyeru Israel dan Hizbullah pada Rabu untuk bersetuju dengan gencatan senjata selama 21 hari ketika peperangan rentas sempadan terus meningkat.

Netanyahu bagaimanapun menafikan laporan media bahawa dia bersetuju dengan gencatan senjata yang dicadangkan.

Sebaliknya dia mengarahkan tentera Israel untuk terus menyerang Lubnan dengan kekuatan penuh.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS