Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan calon BN tak ada rekod jenayah
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 9:50 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Polis mengesahkan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah, tidak mempunyai sebarang rekod sabitan jenayah.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata nama Syed Hussien tidak terdapat dalam rekod sabitan jenayah yang di bawah kesalahan boleh daftar menurut Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

"Siasatan yang dijalankan bersabit kes yang dinyatakan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan diarahkan agar kes di No Further Action (Tiada Tindakan Lanjut),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada dakwaan yang menyatakan bahawa Syed Hussien mempunyai rekod jenayah, yang dimuat naik di laman Facebook.

Bahrin juga menasihatkan parti politik agar berkempen dengan cara yang sihat, termasuk tidak membuat kenyataan palsu terhadap individu lain.

Hari ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menafikan dakwaan pembangkang yang menyatakan bahawa Syed Hussien mempunyai rekod jenayah. Beliau menganggap tindakan itu sebagai satu modal politik oleh pihak yang ketandusan isu, bertujuan untuk merosakkan keyakinan terhadap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang tersebut.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa kejadian yang berlaku melibatkan Syed Hussien ketika beliau berusia dalam lingkungan 20-an, di mana beliau cuba membantu seorang individu buta yang sedang diganggu dan dipukul oleh sekumpulan orang.

PRK DUN Mahkota pada Sabtu ini, melibatkan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS