Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki meninggal dunia tersangkut di pokok dokong
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok dokong di Kampung Bertam, di Gua Musang hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata Mohamad Mat Noor, 51, ditemukan berada di celah dahan pokok pada ketinggian kira-kira tiga meter di dusun kepunyaan keluarganya.

Beliau berkata pada 9 pagi tadi, polis menerima laporan daripada seorang lelaki, Abd Rani, 59, menyatakan adiknya telah keluar untuk memetik buah dokong pada 3 petang semalam namun hingga 8 malam, dia tidak pulang ke rumah.

“Pada 8.30 pagi tadi, ahli keluarganya telah menjumpai Mohamad tersangkut di celah dahan pokok dan kemudian menghubungi bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sik berkata pegawai perubatan mengesahkan kematian Mohamad kerana serangan jantung.

“Berdasarkan siasatan, kematian lelaki itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut manakala jenazahnya telah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerek,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS