Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lapan buah rumah dibina atas tanah k'jaan di Klang diroboh
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Lapan unit rumah kediaman di Persiaran Sungai Keramat, Klang yang dibina di atas tanah milik kerajaan dirobohkan dalam satu operasi bersepadu hari ini.

Pegawai Daerah Klang Amri Ismail berkata tindakan ke atas premis kediaman yang masih dalam proses pembinaan itu diambil selaras dengan peruntukan undang-undang demi memelihara hartanah milik kerajaan daripada aktiviti-aktiviti pencerobohan.

Beliau berkata Pejabat Daerah dan Tanah Klang (PDTK) telah mengeluarkan Notis Amaran Pencerobohan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara pada 16 Julai 2024 kepada pengusaha tapak terbabit.

"PDTK juga telah menaikkan papan tanda amaran dan menutup tapak, namun pengusaha masih berdegil meneruskan pembinaan rumah-rumah itu walaupun telah berulang kali diberikan amaran.

"Pengusaha juga dipercayai telah menawarkan penjualan rumah berkenaan kepada orang awam," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Beliau dalam kenyataan sama turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran jualan rumah tanpa menyelidiki latar belakang projek.

"Pentadbir Tanah Klang juga menegaskan bahawa pencerobohan tanah kerajaan merupakan satu kesalahan serius di bawah Kanun Tanah Negara dan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Operasi bersepadu itu melibatkan PDTK, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, polis, Tenaga Nasional Berhad dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS