Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UIA ambil tindakan pada pensyarah cetus kontroversi
Diterbitkan:  Sep 3, 2024 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sudah mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pensyarah Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman yang dilihat menyebabkan kekeliruan umum di media sosial.

Kata UIA, tindakan tersebut dibuat selaras dengan kod etika kakitangan institusi penganjian tinggi awam (IPTA) berkenaan.

Pada masa sama pihak pengurusan universiti itu turut memberi peringatan kepada pensyarah bahasa Arab terbabit supaya berhati-hati dalam perkongsiannya kepada umum.

"UIA juga secara amnya sentiasa menegaskan bahawa pandangan ahli-ahli akademik dalam universiti ini perlu diselaraskan dengan piawaian yang telah ditetapkan jawatankuasa integriti akademik.

"Namun begitu, universiti tidak pernah menghalang kebebasan akademik dan sentiasa menyokong program-program ilmu," kata Pejabat Komnikasi, Advokasi dan Promosi UIA hari ini.

Kenyataan dibuat itu tidak menyiarkan atau memetik sebarang nama pensyarah. Bagaimanapun ia dipercayai merujuk isu melibatkan Prof Solehah Yaacob selepas pandangannya - yang disiarkan dalam klip video - tular.

Mendidik dengan ilmu autentik

Dalam klip video tular itu, Solehah berkongsi pandangan yang mengaitkan isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid, berkemungkinan berasal dari alam Melayu.

"Saya apabila melihat VTT (video TikTok), banyak juga saya tengok, mereka mengatakan Khadijah itu dari alam Melayu.

"Saya rasa tersentak dengan pandangan itu. Sebab dalam pencarian saya penulis-penulis Arab tidak menulis dengan details (terperinci) siapa Khadijah itu.

"Tiba-tiba kita dapat dari alam Melayu, Khadijah daripada sini. Dan kita kena maklum, beliau merupakan wanita kaya dan mempunyai perniagaan yang besar.

"Untuk mempunyai perniagaan yang besar pada ketika itu anda mesti memiliki emas. Tidak ada forex ke, Bitcoin ke masa tu. Dia kena ada suatu yang diminati oleh semua orang di atas dunia ini iaitu emas.

"Dan emas tidak ada di bumi Arab. Emas ada di mana tuan-tuan dan puan-puan? Di tempat kita. Kita ini bumi emas," katanya.

Bagaimanapun selepas menyedari rakaman itu mula tular, Solehah dalam kenyataan di Facebook mendakwa dia tidak pernah menyebut Khadijah berasal dari Tanah Melayu.

Jelasnya, tajuk video 'Khadijah al-Khuwailid adalah dari alam Melayu' hanya dibuat oleh individu yang memotong sebahagian daripada video ceramahnya.

UIA berkata, pihaknya sentiasa memperingatkan ahli akademiknya akan bertanggungjawab mereka untuk memberikan hujahan yang berasaskan fakta jelas, serta disokong oleh kajian yang diterbitkan dalam jurnal penyelidikan diiktiraf mengikut prinsip kesarjanaan dalam bidang masing-masing.

Jelas IPTA itu lagi, adalah penting bagi memastikan dunia akademik terus dihormati dan iktiraf atas ketinggian ilmu dan integriti ahli-ahli akademiknya.

"UIA komited untuk terus memastikan kualiti pendidikan serta kesarjanaan dalam kalangan ahli akademik terpelihara.

"Kami percaya bahawa tanggungjawab besar ahli akademik adalah mendidik masyarakat dengan ilmu yang autentik dan berfakta," kata UIA lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS