Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan Hindu berang dengan komik berkaitan patung dewa
Diterbitkan:  Aug 29, 2024 6:15 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Setiap orang patut belajar menghormati kemajmukan Malaysia, bukan melebarkan perpecahan, kata Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) T Ganesan.

Dia berkata demikian sebagai reaksi terhadap status tular di Facebook oleh seorang pengguna maya yang dilihat menyinggung perasaan penganut Hindu.

Katanya, mereka telah merujuk perkara itu kepada Kementerian Perpaduan serta menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meneliti perkara itu.

“Perkara ini tidak patut berlaku, terutamanya menjelang sambutan Hari Merdeka tidak lama lagi,” katanya kepada Malaysiakini.

Tiga hari lalu, seorang pengguna memuat naik gambar komik seorang ibu mengajar anaknya berkaitan perbezaan antara Islam dan Hindu.

Dia antaranya menolak penjelasan bahawa kuil Hindu sebagai “tempat tuhan orang kafir”.

Katanya, penjelasan itu boleh membuatkan anak keliru “macam tuhan ini ada banyak”.

Ketika cuba menjelaskan konsep ketuhanan, dia antaranya berkata patung orang kafir tidak boleh menolong manusia kerana ia sendiri dicipta oleh manusia.

MHS semalam telah mengkritik komik itu dengan berkata didikan terhadap kanak-kanak tidak patut dibuat dengan cara menyentuh sensitiviti agama lain.

Menurut mereka, perbandingan agama tidak harus dibuat secara berat sebelah atau dengan pemahaman yang terhad.

“Selain itu, tafsiran tentang Hinduisme dalam komik itu salah dan memberikan tanggapan negatif terhadap agama itu,” katanya.

MHS bagaimanapun berkata tidak berminat membuat laporan polis.

Sementara itu, satu lagi kumpulan Hindu, Malaysia Hindudharma Maamandram turut mengkritik status wanita itu dan menyifatkannya sebagai provokasi.

“Ia bukan saja menyinggung perasaan orang Hindu, tetapi turut menjejaskan keharmonian yang menjadi asas kepada Malaysia selama bertahun-tahun,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS