Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya maki ‘kaki troll’, bukan masyarakat India - M Mythreyar 
Diterbitkan:  Aug 28, 2024 12:46 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Dituduh menghamburkan makian dan carutan terhadap masyarakat India, M Mythreyar, berkata dia hanya menyasarkan golongan ‘kaki troll’ (penghasut maya) dalam pandangan yang dibuatnya baru-baru ini.

"Jika kamu lihat video penuh, saya menjawab kepada kumpulan tertentu, bukan keseluruhan masyarakat India.

"Saya ada bukti da saya boleh beri kepada mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 25 Ogos lalu, MIC dan beberapa NGO India membuat laporan polis terhadap aktivis pro-Palestin terbabit kerana didakwa menyebarkan kebencian terhadap masyarakat India dan agama Hindu.

Memetik sumber, The Star melaporkan bahawa kumpulan itu - yang memperkenalkan dirinya sebagai pertubuhan hak Tamil - mempunyai antara empat hingga lima ahli aktif dan cenderung kepada ahli politik berpangkalan di Tamil Nadu yang ideologinya berkisar pada menyokong autonomi dan nasionalisme wilayah Tamil.

Mereka dituduh menggunakan kata-kata fitnah terhadap orang India dan Hindu, dan menggelar orang Tamil - yang merujuk diri mereka sebagai orang India di Malaysia - sebagai anak pelacur.

Laporan itu juga memetik ucapan oleh lelaki yang mengadakan mogok lapar untuk membantah penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Blackrock baru-baru ini.

Antara kumpulan yang membuat laporan itu ialah Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), Malaysia Hindu Sangam, dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Sungai Buloh.

Mythreyar berkata video yang dipertikaikan kumpulan terbabit telah diambil di luar konteks, dengan beberapa bahagian didakwanya telah disunting.

Mengulas lanjut, aktivis itu mendakwa sekumpulan penghasut maya mula mengganggunya semasa sesi siaran langsung TikTok kerana pendiriannya yang menyokong Palestin.

"Mereka mengecam pendirian saya yang pro-Palestin. Kumpulan itu juga meletakkan gambar saya (semasa mogok lapar) dan saya melabelkannya RIP (rest in peace).

"Ini adalah pendirian saya (menjadi pro-Palestin) tetapi jika anda tidak bersetuju… biar sahaja," katanya.

Mythreyar menambah dia telah memuat naik satu lagi video untuk menjelaskan mengapa dia marah pada masa itu, namun laporan polis masih dibuat terhadapnya.

Ditanya mengenai pilihan kata-katanya ketika membalas dakwaan penghasut maya, Mythreyar melahirkan rasa kesalnya.

"Jika ia menyakitkan hati sesiapa, saya sangat kesal tetapi sila lihat video penuh. Saya mempunyai kawan yang berbangsa Malayali, Telugu dan lain-lain," katanya.

Ketika dihubungi, setiausaha GHRF S Anbalagan berkata laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu di pelbagai negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

"Saya tidak pasti motif mereka dan sebab itu kami menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu secara menyeluruh.

"Kita tidak boleh ambil mudah kerana mereka mencabar orang ramai membuat laporan polis terhadap mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS