Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemas rumah terbiar, syarikat pembersihan jumpa harta lebih RM60,000

Baru-baru ini kisah syarikat pembersihan menemukan harta bernilai hampir RM60,000 ketika membersihkan sebuah rumah terbiar tular di TikTok.

Menurut pemilik syarikat pembersihan F.I.8 Empire, Faqrul Rahman, pihaknya menemukan wang tunai berjumlah RM38,000 di merata-rata tempat di rumah itu, serta barangan berharga lain.

Menceritakan peristiwa itu kepada Malaysiakini, Faqrul, 30, berkata rumah itu milik seorang wanita yang meninggal dunia dan pihak keluarga mengambil khidmat syarikatnya untuk membersihkan rumah arwah.

“Ahli keluarga sebenarnya berat hati untuk suruh orang luar kemaskan rumah kerana sebelum arwah meninggal, dia ada beritahu bahawa rumah tersebut hendak dikemas, hanya adik-beradik atau anak arwah sahaja yang boleh berbuat demikian.

“Jadi saya pun pelik kenapa arwah tinggalkan pesanan begitu kepada anaknya,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, katanua, pihak keluarga tetap mengambil khidmat syarikatnya memandangkan terlalu banyak barangan dalam rumah, selain sudah lama tidak berpenghuni.

Dia berkata setelah berbincang, pihak keluarga setuju untuk mengambil pakej membersihkan keseluruhan rumah, yang turut merangkumi pembersihan pakaian.

Kerja pembersihan menyeluruh itu mengambil masa dua hari dan sepanjang tempoh itu, banyak wang tunai dan barangan berharga ditemui, katanya lagi.

Kata Faqrul, pekerja antara lain menemui wang tunai dalam bekas alat tulis, plastik ubat dan bakul.

“Bagi memudahkan proses pembersihan, saya minta izin pihak keluarga arwah untuk mengemas, mengira (wang) dan menjaga amanah yang diberi kepada pasukan kami untuk mengurusnya tanpa campur tangan pihak keluarga.

“Kami ambil keputusan untuk kira kerana ini mungkin harta terakhir arwah yang ingin difaraidkan kepada keluarga.

“Saya boleh katakan hampir RM60,000 aset yang ada dalam rumah tersebut,” katanya.

Faqrul berkata pekerjanya mengasingkan setiap wang kertas yang ditemui mengikut nilainya bagi memudahkan proses pengiraan.

Dia berkata mereka turut menjumpai barang kemas, wang lama ketika era pentadbiran Tunku Abdul Rahman serta mata wang luar negara seperti Vietnam, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Setelah semua harta dikumpul, Faqrul berkata dia menyerahkannya kepada anak arwah sebagai bukti mereka telah menjalankan tugas yang diamanahkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS