Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa khas pantau berita palsu mungkin dibentuk
Diterbitkan:  Jun 6, 2024 3:15 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Kementerian Komunikasi tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau serta menangkis penyebaran berita palsu semasa pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya memang melakukan pemantauan di semua platform media sosial dalam usaha menangani pelbagai berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika musim pilihan raya.

“Kami sudah mempunyai pasukan yang akan memantau penyebaran berita palsu di pelbagai peringkat termasuk Kementerian Komunikasi, badan (agensi) kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan jabatan kerajaan seperti Jabatan Penerangan.

“Insya-Allah akan ada satu jawatankuasa (khas) PRK Sungai Bakap nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai Komuniti Madani Parlimen Nibong Tebal di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat hari ini menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap, manakala hari penamaan calon ialah pada 22 Jun.

Tarikh pengundian awal ialah pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PAS pada 24 Mei lalu kerana mengalami keradangan dalam perut.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH menyangkal dakwaan kononnya PRK menjadi medan kerajaan memberikan ‘gula-gula’ termasuk PRK Sungai Bakap yang dilihat menjadi lokasi tumpuan menteri.

Dia berkata lawatannya ke Pulau Pinang hari ini adalah untuk menyampaikan warkah persilaan kepada Yang di-Pertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Memang menteri-menteri akan sentiasa berada di lapangan berdasarkan arahan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) supaya menteri sentiasa turun padang untuk melihat keadaan dan berusaha menyelesaikan masalah (rakyat), kami akan terus berkhidmat tidak kira tempat, " katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS