Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kita terima Gerakan sebab dia tak pernah ganggu perjuangan kita'
Diterbitkan:  Feb 23, 2024 2:59 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Sedangkan Gerakan pun diterima PAS, kata Hashim Jasin, sudah tentu parti lain yang dianggotai orang Melayu Islam juga disambut baik untuk menyertai PN.

Menurut Mursyidul Am PAS itu parti berkenaan sememangnya sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dalam "semangat perpaduan ummah" yang dibawa mereka.

“PAS sentiasa terbuka menerima parti-parti Melayu Islam dalam semangat perpaduan ummah ini.

"Boleh lihat PAS bersama Bersatu dan boleh menerima Gerakan di dalam PN walaupun (Gerakian) bukan Islam," katanya dipetik harakahdaily di Kompleks PAS Perlis.

Mengenai kerjasama PAS dengan Gerakan, Hashim berkata: "Kita (PAS) terima Gerakan sebab dia tidak pernah ganggu perjuangan dan dasar-dasar kita."

Pada masa sama Hashim berkata PAS tidak pernah menutup pintunya untuk kembali bekerjasama dengan Umno seperti yang pernah berlaku beberapa kali sebelum ini termasuk ketika mereka bersama dalam Muafakat Nasional (MN).

Mengakui ada halangan tertentu untuk menjadikan usaha tersebut sebagai realiti, Hashim menambah, dia yakin kekangan berkenaan boleh diatasi.

Hashim yang pernah menjadi ahli parlimen Arau itu menegaskan, MN perlu dikembalikan kerana melihat kepada keadaan politik dan kerajaan semasa.

Dakwa Hashim, hanya beberapa orang pemimpin Umno saja yang menolak MN sedangkan dalam kalangan ahli, ramai mahu kerjasama tersebut diteruskan.

“Apabila Umno tolak, orang juga akan dapat nilai siapa sebenarnya yang mewujudkan halangan ke arah kerjasama dalam MN ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS