GLOBAL | Kementerian Luar Palestin memaklumkan, sistem antarabangsa "terhutang budi kepada Afrika Selatan" kerana mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan genosid terhadap rakyat Palestin.
Kementerian itu membuat kenyataan tersebut selepas pendengaran awam yang berlangsung selama dua hari di ICJ selesai, lapor Agensi Anadolu.
"Kes Afrika Selatan mempamerkan bukti kukuh bahawa Israel sengaja melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid," lapor Agensi Berita Palestin (Wafa) yang memetik kementerian berkenaan.
Afrika Selatan mengambil "langkah berani" memikul tanggungjawab dan komitmennya sebagai negara pihak Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.
"Rakyat Palestin terus terhutang budi kepada kerajaan Afrika Selatan dan rakyatnya yang berani menentang ketidakadilan ke atas rakyat Palestin," menurut kenyataan itu.
Afrika Selatan memfailkan kes itu pada Dis lalu dan menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Pretoria juga meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk menyeru Israel segera menghentikan serangan.
Israel telah membunuh lebih daripada 23,700 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Okt lalu. Kempen ketenteraan itu juga menyebabkan pemindahan besar-besaran, kemusnahan dan kelaparan.
- Bernama/Anadolu