Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada penganiayaan petani di Tambun, kata Pejabat MB Perak
Diterbitkan:  Oct 26, 2023 9:47 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Pejabat Menteri Besar Perak hari ini menafikan dakwaan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa ke atas sekumpulan petani di Kanthan, Tambun.

Sebaliknya kata kenyataan yang dikeluarkan itu proses pengosongan tanah yang dilakukan adalah mengikut saluran undang-undang.

Dalam kenyataan di Ippoh, Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan, bagi menyelesaikan isu yang berlarutan lebih 11 tahun itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menawarkan tapak alternatif di Changkat Kinding yang telah diwartakan sebagai zon pertanian dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak.

“Kerajaan Perak sentiasa komited mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu tuntutan sekumpulan setinggan pertanian yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP) milik PKNPk.

“Bagi membolehkan proses pemindahan dibuat secara tersusun, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM700,000 untuk menyediakan infrastruktur serta kerja-kerja pembinaan teres bagi tujuan perladangan serta kemudahan saluran bekalan air di tapak alternatif berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Ia juga memaklumkan lawatan tapak ke Changkat Kinding diadakan bersama-sama setinggan pertanian terbabit pada Mei 2021, namun malangnya sehingga kini hanya sekumpulan kecil daripada mereka menerima tawaran tersebut.

“Amat penting bagi PKNPk sebagai penggerak utama ekonomi Perak merealisasikan projek berimpak tinggi SVTP bagi melengkapkan perancangan memacu pembangunan industri negeri yang dijangka menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat selain mewujudkan peluang-peluang perniagaan baru.

“Pun begitu, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan memahami kekangan yang dihadapi setinggan pertanian terbabit, kerajaan Perak melalui PKNPk sentiasa membuka pintu rundingan agar jalan penyelesaian menerusi penyediaan tapak alternatif di Changkat Kinding dapat sama-sama direalisasikan,” menurut kenyataan itu.

Isu tersebut menurut, Pejabat Menteri Besar, boleh diselesaikan secara harmoni dengan semua pihak mengambil sikap tanggungjawab dan menghormati prinsip serta keluhuran undang-undang.

“Kerajaan negeri juga menghargai peranan petani membantu memastikan aspek ketersediaan sumber makanan sentiasa diutamakan, malah Perak adalah negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai usaha menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan negara,” menurut kenyataan itu.

Malah, sekuriti makanan menjadi satu daripada enam agenda dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dengan menggariskan pelbagai inisiatif memperkasa industri asas tani termasuk penubuhan Akademi Sekuriti Makanan dan pembinaan hub industri halal, jelas Pejabat Menteri Besar.

Dua hari lepas dilaporkan polis menahan empat individu, termasuk Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar, kerana cuba menghalang pengusiran petani terbabit.

Turut ditahan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas ialah Ahli Jawatankuasa PSM R Karthiges, anggota Pemuda PSM Perak, P Kesavan, dan seorang petani yang dikenali sebagai Ho Pon Tien.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS