Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid: Tafsir ayat al-Quran perlu berdasarkan disiplin ilmu
Diterbitkan:  Sep 23, 2023 8:20 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Pengerusi Harapan (PH) Perak Mujahid Yusof Rawa mengingatkan orang ramai termasuk orang politik agar berhati-hati memetik ayat suci al-Quran.

Naib Presiden Amanah itu berkata, ini kerana dibimbangi ayat al-Quran tersebut akan ditafsir di luar konteks dan mencetuskan kekeliruan.

Tegas Mujahid yang juga bekas menteri agama, penafsiran ayat al-Quran perlu berlandaskan disiplin ilmu yang sewajarnya.

"Saya nak beri nasihat kepada sesiapa saja, khususnya orang politik termasuk saya, kalau nak tafsir ayat al-Quran elok bersandar pada disiplin ilmu agar ayat tak disalah erti dan disalah guna untuk kepentingan tertentu," katanya.

Mujahid merujuk kontroversi melibatkan pemimpin DAP Howard Lee yang kini disiasat oleh polis kerana didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat-ayat al-Quran.

Tambah Mujahid, ayat al-Quran yang dipetik Lee memerlukan disiplin ilmu untuk ditafsir kerana ia memerlukan pemahaman bahasa.

"Tak boleh ditafsir semudah itu kerana ada padanya keperluan fahami bahasa, lenggang lenggok ayat itu," katanya.

Abdul Aziz Bari

Sementara itu, pemimpin DAP Perak Abdul Aziz Bari mempertahankan Lee sebagai sekadar menyatakan pendapat.

Aziz berkata Lee, sebagai seorang bukan Islam, tidak terikat dengan undang-undang Islam di Malaysia.

“Saya tidak nampak apa-apa yang salah dengan Lee kerana dia hanya menyatakan pendapatnya.

“Apa pun, dia tidak tertakluk kepada undang-undang Islam negara ini," katanya kepada Malaysiakini.

Aziz menambah bahawa Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor menggunakan isu itu untuk kempen Perikatan Nasional (PN).

Aziz juga tidak menolak kemungkinan Lee ditangkap di bawah Akta Hasutan.

Semasa berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Pelangai awal hari ini, Sanusi membangkitkan tindakan Lee yang memetik terjemahan sepotong ayat al-Quran baru-baru ini.

Dia berkata perkara itu hanya boleh berlaku kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Dia menggesa pengundi Pelangai supaya menolak DAP dan Umno dan menghalang mereka daripada "meliberalkan semua benda".

Dilaporkan semalam bahawa Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadap Lee selepas satu laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS