Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid: Peguam saya akan teliti setiap kenyataan Ahmad Dusuki terhadap TH
Diterbitkan:  Sep 4, 2023 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata peguamnya akan meneliti kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin Dewan Ulama PAS Ahmad Dusuki Abd Rani berhubung dakwaan melibatkan aset Tabung Haji (TH).

Kata bekas menteri agama itu, ini berikutan fitnah berterusan Ahmad Dusuki walaupun pemimpin PAS itu telah menarik rayuan saman terhadapnya.

“Peguam saya akan meneliti setiap kata-kata beliau setelah kalah saman dan akan bertindak dengan penuh amanah demi memelihara kemuliaan TH.

“Sementara itu, jauhi pemfitnah dan politik toksik kebencian yang diputarkan oleh pihak yang menyokong dan mempertahankan fitnah,” katanya dalam satu kenyataan sambil memetik potongan hadis berhubung fitnah kepada Ahmad Dusuki.

Dalam hantaran di Facebook, Mujahid berkata tindakan Ahmad Dusuki meneruskan fitnah terhadap TH, dengan memainkan isu bahawa aset TH dijual kepada bukan Islam adalah bertujuan untuk menimbulkan keresahan orang ramai.

“TH adalah institusi mulia umat Islam yang telah menjadi bahan politik murahan beliau walaupun dibuktikan di Mahkamah bahawa fitnah beliau adalah tidak benar.

“Berhenti dari menjaja fitnah dan hormat sedikit keputusan mahkamah yang kekal menolak saman Dusuki ke atas saya yang telah mempertahankan aset TH tidak dijual kepada bukan Islam.

“Hormatilah umat Islam dan para pendeposit daripada menjadi mangsa fitnah Dusuki. Apa motif beliau? Saya harap beliau noktahkan isu ini dan mari bersama membangunkan umat Islam menjauhi diri dari budaya fitnah,” katanya.

Pada 29 Ogos, Mujahid memberitahu bahawa Ahmad Dusuki telah menarik balik proses mahkamahnya di Mahkamah Rayuan sebagai pengakuan pemimpin PAS berkenaan mengenai tiada aset TH yang dijual kepada orang bukan Islam.

Mujahid berkata, Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Ahmad Dusuki membayar kos sebanyak RM5,000 kepadanya.

Bagaimanapun, sehari selepas itu pemimpin PAS berkenaan menyindir Mujahid, dengan membangkitkan kekalahan Mujahid dalam pilihan raya umum ke-15 di Parlimen Parit Buntar.

Dalam kenyataan Mujahid hari ini, ahli Dewan Negara itu turut mengingatkan kepada Ahmad Dusuki bahawa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa tiada aset TH yang dijual kepada bukan Islam, seperti yang didakwa.

“Beliau gagal menggunakan satu lagi ruang rayuan di Mahkamah Putrajaya apabila beliau menarik balik rayuannya pada 28 Ogos baru-baru ini. Sepatutnya ketidakpuasan hati beliau kepada keputusan dua mahkamah didengarkan dan dihujahkan ke hadapan Mahkamah Putrajaya yang akan diadili oleh tiga orang hakim.

“Malangnya, beliau tarik diri atas kerelaan sendiri tetapi memilih untuk meneruskan fitnah ke atas TH di pentas politik dan di media sosial.

“Kebanyakan hujahnya telahpun didengari di bilik perbicaraan dan telahpun dijawab dan diperiksa balas kesemua jawapan oleh peguam beliau dan saya di hadapan hakim,” kata Mujahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS